Minda teguh, disiplin tinggi elemen penting dipegang Adli 'Goldenboy' Hafidz

Bernama
November 9, 2024 14:15 MYT
Kejayaan Adli Hafidz adalah hasil gabungan minda yang teguh dan disiplin tinggi yang dibangunkannya melalui perancangan teliti serta usaha yang berterusan. - Gambar fail/ Bernama
KUALA LUMPUR: Peninju profesional negara Adli Hafidz Mohd Pauzi merupakan contoh yang baik, bagaimana seorang individu boleh mencapai keseimbangan antara dua kerjaya yang berbeza iaitu sebagai pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan atlet.

Ringkasan AI
  • Kejayaan Adli Hafidz adalah hasil gabungan minda yang teguh dan disiplin tinggi yang dibangunkannya melalui perancangan teliti serta usaha yang berterusan.

Kejayaan Penolong Pengarah Kastam Bahagian Cukai Dalam Negeri Johor itu dalam bidang tinju walaupun menjalani rutin kerja tetap, adalah hasil gabungan minda yang teguh dan disiplin tinggi yang dibangunkannya melalui perancangan teliti serta usaha yang berterusan.
“Pertama sekali ialah penetapan minda, kedua disiplin. Saya bekerja seperti biasa masuk pukul 8 pagi balik 5 petang, tetapi saya bangun tidur 5 pagi untuk berlatih - larian dan gimnasium sebelum terus pergi kerja, balik kerja saya sambung berlatih pada sesi petang.
“Begitulah kehidupan seharian bagaimana saya kekalkan prestasi, saya sendiri kena tetapkan masa itu kerana kalau saya tak buat macam ni, siapa lagi nak buat, diri sendiri yang kena set yang berkait rapat dengan penetapan minda,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Darah Muda terbitan Bernama TV, semalam.
Mempunyai jadual yang teratur bukan sekadar rutin, tetapi juga menjadi kaedah utama bagi atlet berusia 35 tahun itu, yang diberi julukan Goldenboy untuk mengekalkan produktiviti dan kualiti dalam setiap aspek kehidupan.
“Jika saya bangun 5 pagi, saya kena cukup rehat dan cukup makan untuk dapatkan tenaga pada esoknya. Kalau saya tak rancang, ia mungkin jadi hari yang tiada kualiti dan tidak produktif, jadi saya perlu bahagi masa sebaiknya, kalau esok tiada latihan saya luangkan masa bersama anak dan keluarga,” katanya.
Baru-baru ini Adli Hafidz yang memiliki pengalaman hampir 21 tahun dalam sukan tinju, berjaya meraih satu lagi kejayaan penting selepas menjuarai Kejohanan Tinju Antarabangsa Rise of Legends di Thailand.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menzahirkan ucapan tahniah atas kejayaan dilakar beliau, sambil memintanya untuk meneruskan semangat juang dan menjadi kebanggaan penjawat awam.
Dalam pada itu, juara kategori super middleweight Kejohanan Tinju Profesional Antarabangsa Majlis Tinju Asia (WBC) Championship 2019 itu, menyeru para penjawat awam untuk menjalani gaya hidup sihat dan aktif.
“Saya sendiri nak tunjukkan kepada penjawat awam bahawa tidak ada apa yang mustahil, umur hanya satu nombor, yang penting diri kita, kalau kita nak sihat kita akan cari jalan macam mana nak sihat, kita cari kumpulan dan kawan-kawan yang nak sihat dan bukannya hidup dalam gaya hidup tidak sihat.
“Saya ambil contoh secara amnya kenapa penjawat awam kita banyak tekanan di pejabat, banyak anxiety dan perkara-perkara berkaitan, disebabkan gaya hidup, cuba sesekali kita ubah gaya hidup itu...cari kawan-kawan yang bersukan. Apabila kita berpeluh akan beri kesihatan yang lebih baik dan kemudiannya membantu kurangkan stres dan anxiety,” katanya.
-- BERNAMA
#Peninju profesional #Adli Hafidz Mohd Pauzi #JKDM #Goldenboy
;