Mimpi ngeri menanti penjaga gol negara

Astro Arena
November 16, 2015 07:14 MYT
Harimau Malaya yang kini dikendalikan Datuk Ong Kim Swee menggantikan Dollah Salleh bakal menurunkan muka baru di gawang. - Foto Astro Arena
SELEPAS dibelasah 10 gol September lalu ketika pertemuan pertama aksi kumpulan A berdepan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada aksi kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019, tugas sukar menanti penjaga gawang skuad negara bagi mengelak kejadian sama berulang dalam pertemuan kedua.
Tewas 10-0 merupakan catatan rekod terbaru selepas kali terakhir tewas dengan jumlah besar adalah pada tahun 1967 apabila tunduk 8-2 berdepan New Zealand.
Walau bagaimanapun, Harimau Malaya yang kini dikendalikan Datuk Ong Kim Swee menggantikan Dollah Salleh bakal menurunkan muka baru di gawang.
Izham Tarmizi (JDT), Khairul Azhan (Pahang) dan Farhan Abu Bakar (Harimau Muda) bakal menggalas tanggungjawab besar.
Berdepan jentera serangan UAE yang di terajui perancang utama Omar Abdulrahman, sudah pasti kelibatnya akan menjadi mimpi ngeri buat skuad negara.
Walaupun turun dengan pengalaman pahit yang lalu, pengendali sementara Kim Swee mahu menamatkan tahun 2015 dengan aksi yang lebih baik.
"Selepas melalui beberapa keputusan teruk sepanjang tahun ini, sudah tentu kami berharap dapat menebus semula maruah pasukan pada perlawanan terakhir bagi tahun 2015 ini dengan persembahan lebih baik," katanya.
UAE menang 8-0 dalam perlawanan sebelum ini berdepan Timor Leste tanpa kehadiran Omar Abdulrahman namun Kim Swee mengekalkan pendirian positif.
"Omar sudah kembali namun itu bukan perlu kami takuti sebaliknya perlu kami awasi," jelasnya.
#bola sepak #Emiriyah Arab Bersatu #harimau Malaya #kelayakan Piala Dunia #UAE
;