'Mimpi ngeri, kami tiada masalah!' - Safawi

Fauzi Zin
Disember 5, 2018 15:52 MYT
Safawi Rasid. - Gambar fail
Menjelang perlawanan separuh akhir kedua Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Nasional Rajamangala malam ini, pemain skuad Harimau Malaya dilapor dalam keadaan bersedia dari segi fizikal dan mental meskipun berdepan dengan ‘serangan’ psikologi oleh pihak lawan.
Menurut penyerang negara, Safawi Rasid tumpuan mereka hanyalah untuk memberi fokus pada perlawanan malam ini dalam misi untuk menang dan layak ke final.
“Semalam semua orang tahu yang penjaga gol Thailand mengatakan ‘mimpi ngeri’ untuk pasukan Malaysia. Bagi kami tiada masalah. Mereka hanya buat (kenyataan itu) untuk kuatkan mental mereka,” kata Pemain No.11 negara itu ketika dihubungi Astro Awani di sini pada Rabu.
Tambahnya lagi, meskipun belum berjaya menghasilkan sebarang gol pada aski perlawanan sebelum ini, Safawi secara peribadi mahu mempamerkan persembahan terbaiknya untuk menyumbang gol buat skuad Harimau Malaya.
“Tidak kisahlah gol tersebut daripada saya atau rakan-rakan lain. Yang penting janji kami dapat ke final,” ujarnya lagi.
Sementara itu, jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mahu anak buahnya mengekalkan corak permainan mereka ketika menentang Thailand di Stadium Bukit Jalil, Sabtu lalu.
Malah, Cheng Hoe turut menasihatkan agar Harimau Malaya melakukan serangan di awal permainan untuk memperoleh kemenangan.
#harimau Malaya #Piala AFF Suzuki 2018 #Stadium Bukit Jalil #Stadium Nasional Rajamangala #Tan Cheng Hoe #Thailand
;