MILO, MOM perkukuh kerjasama bina negara juara
Bernama
Mei 29, 2023 06:00 MYT
Mei 29, 2023 06:00 MYT
KUALA LUMPUR: MILO meneruskan dedikasinya terhadap industri sukan negara dengan pemeteraian perjanjian penajaan bersama Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada Isnin.
MILO dalam kenyataan berkata perjanjian penajaan itu akan diteruskan hingga 2028 dengan sokongan kewangan dan sumbangan dalam bentuk barangan, antaranya untuk kontinjen Malaysia bertanding di Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif Nestle (Malaysia) Berhad Juan Aranols berkata MILO telah menyumbang kepada pembangunan sukan negara selama tujuh dekad.
"Melalui kolaborasi berterusan kami bersama MOM berserta program-program sukan akar umbi kami, kami kekal komited untuk memberi inspirasi kepada generasi atlet bertaraf dunia Malaysia akan datang," katanya.
Majlis menandatangani perjanjian itu melibatkan Ketua Setiausaha MOM Datuk Mohd Nazifuddin dan Pegawai Eksekutif Perniagaan MILO Ng Su Yen, disaksikan oleh Aranols dan Timbalan Presiden MOM Datuk Hamidin Mohd Amin.
Sementara itu, Hamidin dalam kenyataan sama berkata sejak 1956, MILO telah memainkan peranan penting dalam membuka peluang kepada atlet Malaysia untuk mengasah bakat mereka dan mewakili negara pada peringkat serantau dan global.
"Kami gembira untuk sekali lagi memperbaharui kolaborasi bermakna bersama MILO bagi terus menyokong kontinjen atlet berbakat Malaysia," tambahnya.
-- BERNAMA