Milan di landasan tepat walau tewas - Pioli
Astro Arena
November 4, 2019 10:09 MYT
November 4, 2019 10:09 MYT
AC MILAN 1 LAZIO 2
Pengurus AC Milan, Stefano Pioli, percaya pasukannya sedang berada di landasan tepat walaupun berdepan kekalahan keenam daripada 11 perlawanan Serie A musim ini.
Milan tewas 1-2 kepada Lazio di San Siro awal pagi tadi dengan jaringan kemenangan Joaquin Correa pada minit ke-83 melonjakkan pasukan pelawat itu ke tangga keempat liga.
Milan pula terperosok di tangga ke-11 dengan ketinggalan lapan mata daripada slot ke saingan Eropah dan 16 mata di belakang pendahulu, Juventus.
Pioli mengambil alih Milan daripada Marco Giampaolo bulan lalu dan berasakan skuad Rossoneri itu semakin meningkat walaupun keputusan tidak memihak mereka.
"Pada pandangan saya, pasukan ini sedang meningkat," kata bekas pengurus Inter Milan itu kepada Sky Sport Italia.
"Sudah pasti, jika dilihat carta liga dan situasi ketika ini, kemenangan amat penting tetapi prestasi kami agak baik malam ini.
"Kami mengambil beberapa risiko untuk mencipta ancaman buat lawan, dapat menandingi mereka hingga ke penghujung perlawanan dan saya berasakan kami berada di landasan yang tepat.
"Apa yang boleh kami lakukan adalah meneruskan peningkatan ini.
"Saya dapat lihat satu pasukan yang bersaing hebat sepanjang 95 minit.
"Saya tidak dapat lihat pasukan ini bergelut, takut atau membenarkan diri mereka untuk tunduk.
"Kami masih melakukan banyak kesilapan seperti melakukan hantaran yang sepatutnya tidak perlu dan begitulah sebaliknya.
"Saya dapat lihat pemain saya amat cemas dan takut-takut sewaktu mula-mula tiba di sini.
"Saya tidak melihatnya lagi hari ini," katanya.
Pioli turut berasakan Rafael Leao gagal memberikan impak sebaik dimasukkan daripada bangku simpanan dalam babak kedua.
"Saya menjangkakan sesuatu yang lebih daripadanya malam ini.
"Apabila dia dimasukkan, ia sepatutnya mengubah rentak perlawanan dengan tenaga baru dan bekerjasama dengan pasukan.
"Dia memiliki potensi yang besar tetapi dia perlu melakukan sesuatu yang lebih baik.
"Sumbangannya hari ini tidak mencapai standard yang dimahukan," tambahnya.
Pengurus Lazio, Simone Inzaghi, gembira apabila pasukannya mencatat kemenangan pertama Serie A di Milan sejak 1989.
"Kami memenangi perlawanan yang penting, saya fikir kami layak memenanginya," katanya kepada Sky Sport Italia.
"Kami berdepan lawan yang pada pandangan saya amat hebat tetapi Lazio bermain dengan amat baik dan melakukan segala-galanya untuk menang.
"Ia tidak mudah selepas mereka menyamakan kedudukan tetapi kami mahu menamatkan badi 30 tahun ini, terutama selepas kami menewaskan mereka dalam separuh akhir Coppa Italia di sini musim lalu.
"Saya memberitahu pemain bahawa kami perlu lebih bernafsu dan berkeazaman berbanding Milan," katanya.
Dalam perlawanan itu, Ciro Immobile menjaringkan golnya yang ke-100 buat Lazio dan membantu pasukan itu memintas Atalanta dalam carta liga dengan hanya ketinggalan satu mata di belakang seteru utama, Roma, yang berada di tempat ketiga.