Miki Ghazali tumbangkan lawan 10 tahun lebih tua
Sinar Harian
Februari 22, 2025 05:00 MYT
Februari 22, 2025 05:00 MYT
Miki (tengah) menentang Said El Matador pada Kejohanan Muay Thai Antarabangsa Wilayah Pahlawan 2025 yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, malam tadi. - Foto Sinar Harian
PETARUNG muda dari kelab Rentap Muaythai, Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar, 15, mencipta sensasi apabila menumbangkan lawan lebih berusia dan berpengalaman di Kejohanan Muay Thai Antarabangsa Wilayah Pahlawan 2025 malam tadi.
Adik kepada petarung ONE Championship, Mohammad Johan Ghazali menewaskan Said El Matador dari Maghribi yang berusia 25 tahun dengan aksi dominan.
Pemenang pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 itu tidak menunjukkan sebarang rasa gentar apabila melepaskan beberapa tumbukan kombo yang sukar dijawab Said di pusingan pertama.
Di pusingan kedua, Miki tampil lebih agresif apabila terus mengasak Said yang sekadar melakukan counter attack.
Memasuki pusingan ketiga, Miki memperlahankan rentak dan situasi itu cuba digunakan Said apabila turut melepaskan beberapa kombinasi namun gagal menumbangkan petarung muda negara itu.
Pemenang ditentukan menerusi kiraan mata dan venue kejohanan Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur gegak-gempita sebaik Miki diumumkan sebagai pemenang.
Selaku pemenang, Miki meraih tali pinggang Wilayah Pahlawan yang ditaja Tourism Malaysia. - Sinar Harian