Mike Mahen, Liek Hou dinobat Atlet Terbaik Anugerah 100PLUS Perpaduan SAM 2022
Bernama
Ogos 29, 2023 00:09 MYT
Ogos 29, 2023 00:09 MYT
PETALING JAYA: Jaguh bina badan negara, Datuk Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah dan juara badminton para dunia Cheah Liek Hou masing-masing dinobatkan sebagai Atlet Terbaik dan Atlet Para Terbaik pada Anugerah 100PLUS Perpaduan Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) 2022, malam ini.
Jaguh bina badan negara, yang lebih dikenali sebagai Mike Mahen, itu mencuri tumpuan apabila mengatasi empat calon lain iaitu iaitu Aaron Chia-Soh Wooi Yik (badminton), Lim Kok Leong (snuker), Muhammad Aniq Kasdan (angkat berat) dan Ng Joe Ee (gimrama).
Mike, atlet berusia 50 tahun kelahiran Kuala Lumpur itu mula meraih gelaran dunia pada 2016 dan mempertahankannya pada 2017, 2018 dan 2019 sebelum mengulangi pencapaian untuk kali kelima di Phuket, Thailand, tahun lalu.
Beliau merupakan atlet kedua daripada sukan bina badan meraih anugerah tersebut selepas Sazali Samad pada edisi 2013.
Sementara itu, seperti yang diramal, Liek Hou dirpilih sebagai Atlet Para Terbaik 2022 dengan pencapaian rekod tanpa kalah yang dipegang juara badminton dunia tujuh kali musim lalu.
Atlet berusia 35 tahun itu merangkul juara bermula pada kejohanan Antarabangsa Brazil pada April 2022, diikuti kejohanan Antarabangsa Bahrain pada Mei, Kejohanan Empat Negara Para Badminton Antarabangsa Ireland pada Julai (dua emas) dan Kejohanan Badminton Para Dunia pada November.
Mike dan Liek Hou masing-masing menerima trofi dan wang tunai berjumlah RM10,000 yang disampaikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, pada majlis tahunan itu di sebuah hotel di sini.
Selain memberi pengiktirafan kepada atlet yang mencapai kejayaan cemerlang sepanjang 2022, SAM juga tidak lupa menghargai jasa dan sumbangan tidak terhingga dicurahkan seorang tokoh hebat dalam bidang sukan menerusi Anugerah Tokoh Kepimpinan Sukan kepada Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.
Sementara itu, mengulas mengenai anugerah yang diterima, Mohd Syarul berkata anugerah itu menjadi penyuntik semangat untuknya memburu lebih banyak kejuaraan pada masa akan datang.
"Selama lebih 16 tahun saya wakil negara, lima kali calon anugerah olahragawan tapi tidak pernah dapat. Ini merupakan tahun terbaik untuk saya. Saya dedikasikan anugerah ini kepada semua penulis-penulis sukan Malaysia," katanya kepada pemberita selepas majlis itu.
Liek Hou pula menyifatkan tahun ini sebagai tahun terbaiknya selepas menerima anugerah Olahragawan Paralimpik Kebangsaan bagi Anugerah Sukan Negara (ASN) 2022, Julai lalu.
"Tahun lepas prestasi saya sangat luar biasa sebab saya boleh menang semua kejohanan dan saya memang bangga dengan diri saya," katanya.
Pada majlis itu, wartawan sukan juga menerima pengiktirafan sekali gus memenangi hadiah wang tunai keseluruhan hampir RM50,000.
Wartawan penyiaran, Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam muncul sebagai pemenang Anugerah Siebel dan membawa pulang hadiah wang tunai RM7,000.
-- BERNAMA
#Mike Mahen
#Cheah Liek Hou
#atlet terbaik
#Anugerah 100PLUS Perpaduan
#Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia
#SAM