'Mighty Mouse' bertemu Danny Kingad di final ONE Flyweight GP

Haider Yutim
Ogos 3, 2019 12:07 MYT
Johnson bakal bertemu petarung Filipina Danny Kingad dalam acara final kejohanan dunia Flyweight Grand Prix nanti. - Foto ONE
Demetrious 'Might Mouse' Johnson berjaya menempah tiket ke aksi final kejohanan dunia Flyweight Grand Prix dengan menewaskan pertarung Jepun, Tatsumitsu Wada di ONE: Dawn Of Heroes, di Manila, Jumaat malam.
Bintang MMA dari Amerika Syarikat itu menumpaskan lawannya menerusi keputusan sebulat suara selepas bertarung sebanyak tiga pusingan.
Pusingan pertama menyaksikan kedua-dua petarung saling berbalas tendangan.
Wada kemudiannya berjaya menjatuhkan Johnson ke lantai sambil membuat percubaan kuncian dari belakang.
Johnson bagaimanapun dapat memertahankan dirinya dengan baik.
Pada pusingan kedua, Johnson dilihat mendominasi perlawanan dalam teknik pergelutan.
Momentum itu dibawa ke pusingan ketiga, yang melihat kemenangan diberikan oleh ketiga-tiga juri kepada Johnson.
Dengan keputusan tersebut, Johnson yang kini memegang rekod 29-3, bakal bertemu petarung Filipina Danny Kingad dalam acara final kejohanan dunia Flyweight Grand Prix nanti.
Kingad mara ke final pada hari yang sama selepas mengalahkan petarung Australia, Reece McLaren.
#Danny Kingad #Demetrious Johnson #Flyweight Grand Prix #kejohanan dunia Flyweight Grand Prix #Manila #Might Mouse #ONE Championship #ONE DAWN OF HEROES #Reece McLaren #Tatsumitsu Wada
;