'Mickey' lega dipanggil, janji tampil lebih bertenaga

Bernama
Ogos 31, 2023 18:02 MYT
Dorongan orang ramai terutama ahli keluarga dan rakan-rakan sepasukan di Selangor FC, membantu Mohamad Faisal dalam usahanya mengekalkan prestasi sepanjang tempoh penggantungan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pemain sayap sensasi negara Mohamad Faisal Abdul Halim, lega apabila kembali dipanggil menyertai skuad Harimau Malaya menjelang dua perlawanan antarabangsa Tier 1 di China bulan depan, selepas penggantungan selama sebulan dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).
Mohamad Faisal berkata dorongan orang ramai terutama ahli keluarga dan rakan-rakan sepasukan di Selangor FC, membantu dalam usahanya mengekalkan prestasi sepanjang tempoh penggantungan.
"Sejak Disember tahun lepas saya tiada rehat, mungkin itu (penggantungan) Allah beri saya cuti untuk beri masa saya kembalikan moral ataupun (pulih daripada) keletihan.
"Sekarang saya akan kembali lebih bertenaga, kalau tiada apa-apa halangan, saya akan beraksi seperti biasa untuk membantu pasukan," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Pestabola Merdeka 2023 di sini, hari ini.
Walaupun kekurangan minit perlawanan, Mohamad Faisal yang juga dikenali sebagai Mickey, optimis perkara itu tidak memberi kesan besar kepada prestasinya.
Pemain berusia 25 tahun itu yang kembali beraksi dan menjaringkan dua gol ketika Selangor membelasah Kelantan FC 11-2 pada aksi Liga Super Jumaat lepas, berazam menampilkan aksi lebih baik ketika Malaysia bertemu Syria dan China di Chengdu, masing-masing pada 6 dan 9 Sept ini.
"Saya baru ada 45 minit permainan, pemain lain mungkin sudah bermain lima perlawanan (Liga Super) sebelum ini, tetapi itu bukan satu masalah bagi saya. Syria dan China bukan pasukan lemah, ini perlawanan sukar, tetapi kita akan beri terbaik dan lihat di mana prestasi kita dan tahap kita berada," katanya.
Mohamad Faisal sebelum ini dikenakan hukuman penggantungan selama sebulan oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), susulan kenyataannya ketika sesi temu ramah media selepas aksi Liga Super menentang Sabah FC pada April lepas.
Mengikut keputusan, beliau digantung empat bulan (25 Julai ini hingga 21 Nov), namun hanya dikenakan penggantungan selama sebulan (25 Julai hingga 23 Ogos), dengan penggantungan tiga bulan seterusnya ditangguhkan, tertakluk kepada kelakuan baik selama 12 bulan bermula 24 Ogos.
Terdahulu, Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin melancarkan Pestabola Merdeka 2023 yang turut dihadiri legenda bola sepak negara antaranya Datuk Soh Chin Aun, Datuk Dollah Salleh, Datuk Zainal Abidin Hassan dan Datuk Santokh Singh, serta barisan pemain terkini pasukan negara.
Pada masa sama, FAM turut mengumumkan jalinan kerjasama terbaharunya bersama AEON Big (M) Sdn Bhd selama setahun, yang akan bermula selepas sepak mula Pestabola Merdeka 2023 pada 13 Okt ini.
-- BERNAMA
#pemain sayap #harimau Malaya #penggantungan #mohamad faisal
;