Mick mampu teruskan legasi Schumacher - Alex
Bernama
Disember 27, 2016 18:59 MYT
Disember 27, 2016 18:59 MYT
Satu-satunya pelumba Malaysia yang pernah beraksi dalam perlumbaan Formula Satu (F1), Alex Yoong percaya Mick Schumacher mampu meneruskan legasi bapanya, Michael dalam sukan permotoran.
Alex berkata anak kepada juara dunia tujuh kali F1 itu mempunyai potensi tinggi untuk berjaya selepas menyertai pasukan Prema Powerteam, untuk berlumba dalam Kejohanan F3 Eropah musim depan sebagai persediaan memasuki saingan F1.
"Dia kini berada dalam pasukan F3 yang dianggap antara yang terbaik dan kerana ini saya berani katakan peluangnya untuk berjaya adalah tinggi.
"Mungkin pencapaiannya tidak setinggi yang dicapai Max Verstappen tetapi cukup untuk memberikannya masa depan yang cerah," kata Alex yang memandu untuk pasukan F1 Minardi pada 2001 dan 2002, kepada Bernama.
Mick, 17, dijangka memandu jentera Dallara-Mercedes untuk pasukan Prema pada 2017, selepas muncul naib juara di Kejohanan F4 Jerman dan Itali tahun ini, bersama pasukan dari Itali itu.
Pelumba dari Jerman itu kini mendahului Cabaran Formula MRF 2000 selepas mengumpul 102 mata, dengan menjuarai dua daripada lapan perlumbaan di dua pusingan awal di Bahrain dan Dubai.
Dua lagi pusingan kejohanan membabitkan empat perlumbaan setiap satu akan diadakan di New Delhi dan Chennai, India, masing-masing pada Januari dan Februari tahun depan.
Langkah itu semakin mendekatkannya dengan saingan F1 kerana perlumbaan F4 dan F3 ibarat batu loncatan untuk pelumba beraksi dalam perlumbaan kereta satu tempat duduk itu.
Berikutan ikatan yang kuat antara Prema dan Akademi Pemandu Ferrari, laluan Mick ke F1 adalah cukup baik selepas memulakan pembabitannya menerusi perlumbaan go-kart pada 2008.
Bapanya, Michael dianggap antara pelumba terhebat F1 menerusi pelbagai rekod yang dilakukannya untuk sukan itu termasuk jumlah kejuaraan dunia terbanyak, menang dua kali bersama pasukan Benetton pada 1994 dan 1995 serta lima kali berturut-turut ketika mewakili Ferrari dari 2000-2004.
Bagaimanapun, pelumba legenda itu masih dalam proses pemulihan selepas mengalami kecederaan serius di otak akibat kemalangan ketika bermain ski di Perancis pada Dis 2013.
-- BERNAMA