Michael Phelps layak ke Olimpik buat kali kelima
Astro Arena
Jun 30, 2016 12:08 MYT
Jun 30, 2016 12:08 MYT
PERENANG Amerika Syarikat, Michael Phelps bakal membuat penampilan kelima di pentas Sukan Olimpik apabila mengungguli acara 200 meter kuak dada di Kelayakan Olimpik Amerika Syarikat pada Rabu.
Dengan catatan masa 1 minit 54.48 saat, pemegang rekod 22 pingat emas di pentas Olimpik itu menjadi atlet Amerika Syarikat pertama yang akan tampil dalam lima edisi sukan Olimpik.
Bagaimanapun, perenang berusia 30 tahun itu tidak menampilkan aksi yang baik sekalipun memegang rekod dunia dalam acara tersebut.
Beberapa kali Phelps membuat pusingan tanpa meregangkan tangannya sekali gus kerugian beberapa saat.
"Itu mungkin perlumbaan paling sukar pernah saya tempuh sepanjang karier saya," jelas Phelps.
"Ia merupakan acara ke renang ke-200 buat saya di Amerika Syarikat, dan perlumbaan terakhir selaku perenang berusia 30 tahun.
"Walaupun tidak sepantas yang saya mahukan, namun dalam keadaan sekarang, cukuplah sekadar berjaya sertai rakan sepasukan lain berangkat ke Rio."
Phelps ketika ini berada dalam keadaan baik untuk menghadapi perlumbaan yang dijangka sengit apabila bakal berdepan perenang Hungary, Laszlo Cseh yang memegang rekod terpantas sejak tahun 2015 (1 minit 59.21 saat) diikuti perenang Afrika Selatan, Chad le Closs (1 minit 53.68 saat).
Tom Shileds akan menemani Phelps ke Rio selepas menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan catatan masa 1 minit 55.81 saat.
Ia merupakan sukan Olimpik pertama buat perenang berusia 24 tahun itu.
Phelps dijangka akan mempertahankan kejuaraan dalam acara 100 meter kuak dada dan 200 meter berganti-ganti dalam kejohanan yang berlangsung selama lapan hari itu.