MGJA dan UiTM sasar wujudkan akademi golf
Raja Hisyam Raja Zaid
Jun 7, 2022 17:29 MYT
Jun 7, 2022 17:29 MYT
SHAH ALAM: Persatuan Golf Junior Malaysia (MGJA) dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM) menyasarkan untuk memperluas inisiatif dan usaha mengasah bakat-bakat baharu dalam sukan golf dengan menubuhkan akademi golf.
Menurut Presiden MGJA Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim, perkara tersebut masih dalam peringkat awal perbincangan bersama pihak UiTM menerusi Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR).
"Penubuhan akademi itu tidak semestinya perlu kita wujudkan bangunan atau infrastruktur fizikal. Ia mungkin cukup dan memadai dengan adanya program-program yang mungkin boleh dijalankan," katanya pada sidang media selepas hadir pada Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) bersama UiTM di sini hari ini.
Sementara itu menurut Naib Canselor UiTM Datuk Roziah Mohd Janor, usaha mewujudkan akademi tersebut diharapkan akan terlaksana dalam tempoh dua tahun dari sekarang.
"Kita akan lihat secara terperinci dan perbincangan ke arah itu masih berjalan. Namun ia sudah tentunya melibatkan banyak perkara termasuk tenaga kepakaran dan juga peruntukkan," katanya pada sidang media tersebut.
Dalam pada itu menyentuh mengenai MOU yang ditandatangani hari ini Mohizam menyatakan bahawa ia membabitkan kerjasama yang dijalinkan antara dua pihak dalam aspek pembangunan pendidikan selain usaha melahirkan pemain golf profesional pada masa akan datang.
MGJA katanya, memiliki tenaga pakar dalam kalangan pemain-pemain golf profesional negara untuk turut sama membantu untuk merealisasikan hasrat tersebut.
"UiTM ada Fakulti Sains Sukan dan Rekreasidi peringkat remaja dan tenaga profesional kita boleh asahkan lagi bakat mereka. Harap satu hari nanti ada pelajar UiTM akan ke peringkat antarabangsa dalam sukan golf," katanya lagi.
Perjanjian itu katanya, akan memberi tumpuan kepada beberapa perkara termasuklah pertukaran maklumat berkenaan perkembangan program pendidikan, pembangunan atlet dan penyelidikan.
Selain itu, ia turut meliputi penganjuran simposium, konferensi dan penjanaan kursus jangka pendek.