MGF akan kemuka cadangan etika berpakaian ahli gimnas kepada FIG
Bernama
Jun 15, 2015 06:57 MYT
Jun 15, 2015 06:57 MYT
Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) akan mengemukakan cadangan berhubung etika berpakaian untuk gimnas yang beragama Islam kepada Persekutuan Gimnastik Antarabangsa (FIG).
Presiden MGF, A. Razak Mat Amin berkata cadangan untuk membenarkan gimnas beragama Islam memakai seluar sama sendat (tights) pernah dikemukakan sebelum ini namun tidak mendapat maklum balas daripada badan induk persekutuan antarabangsa sukan itu.
"Kita akan terus berbincang di peringkat dalaman dan membawa perkara ini kepada pihak yang berwajib dalam masa yang terdekat," katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin.
Cadangan itu berikutan isu kontroversi pakaian gimnas negara Farah Ann Abdul Hadi yang dikatakan tidak menutup aurat ketika acara gimnastik kategori rutin senam lantai pada temasya Sukan SEA 2015 di Singapura, minggu lepas.
Beliau berkata demikian bagi mengulas isu pemakaian Farah Ann yang hangat diperkatakan di laman sosial, sekali gus menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat.
Kritikan ke atas ahli gimnas kebangsaan itu bermula apabila sebuah stesen televisyen swasta memuat naik gambar yang dikatakan menjolok mata atau kurang sopan, selepas beliau memenangi pingat emas tersebut.
Sementara itu, A. Razak berkata beliau agak terkilan apabila isu ini dibangkitkan oleh beberapa pihak sedangkan setelah beberapa tahun acara ini diperkenalkan, pemakaian atlet gimnastik tidak pernah dijadikan topik hangat.
"Dengan mengeluarkan kenyataan begitu secara tidak langsung juga akan mendatangkan aib kepada keluarga Farah Ann. Setiap orang ada pilihan sendiri, ada hak masing-masing dan ada hak sebagai seorang individu.
"Farah Ann adalah seorang atlet yang sangat tabah dan profesional dalam menghadapi segala kritikan ini. Kejayaan yang diperolehnya sangatlah menakjubkan dan setiap isu yang dibangkitkan, kami akan cuba memperbaiknya," katanya.
Farah Ann menyumbang dua pingat emas masing-masing dalam acara keseluruhan berpasukan wanita dan rutin lantai, satu pingat perak dalam kategori keseluruhan individu dan satu gangsa dalam rutin batang titian.
Secara keseluruhannya, skuad gimnastik artistik negara meraih tiga emas, tiga perak dan tiga gangsa pada temasya Sukan SEA di Singapura.