MFL tanggung kos VAR
Sinar Harian
September 3, 2023 12:30 MYT
September 3, 2023 12:30 MYT
PASUKAN yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) boleh menarik nafas lega apabila kos sistem video bantuan pengadil (VAR) ditanggung sepenuhnya oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Datuk Stuart Ramalingam berkata, pengendali liga itu memahami kesukaran untuk dana sekiranya kos VAR itu perlu ditanggung oleh setiap pasukan Liga-M.
"Pada masa ini (akan ditanggung oleh) MFL. Kos VAR bukan satu perkara yang senang ditelan oleh pasukan. Kita dapat tengok keadaan dan kewangan pasukan yang agak ketat. Implementasi VAR akan menjadi tanggungan kos yang tinggi.
"Pada masa ini MFL bergerak sebaik mungkin untuk memastikan kos itu ditanggung oleh MFL. Jika MFL ada kekangan di peringkat VAR, saya akan berbincang sendiri dengan semua CEO pasukan mengenai perkara tersebut," katanya pada Jumaat.
Sebelum ini, MFL mendedahkan kos untuk memperkenalkan VAR dalam saingan liga di negara ini cukup tinggi sehingga mencecah RM9.7 juta.
Jumlah tersebut adalah tiga kali ganda lebih mahal pada musim pertama kerana VAR yang diimplementasikan meliputi barangan keperluan seperti kamera, jaringan internet dan perlu menggunakan trak bergerak.
Bagaimanapun, kos untuk mengaplikasikan teknologi berkenaan di venue tertentu pada tahun berikutnya dianggarkan sekitar RM3.2 juta.
Dalam pada itu, Stuart turut mengharapkan ada penaja yang sudi untuk menaja khusus kepada sistem VAR tersebut.
"Kita akan melihat kos keseluruhan yang akan kita terima daripada kontraktor, penyiar dan penyediaan trak.
"Pada masa ini bajetnya RM9.7 juta, tetapi kita harap ia dapat dilaksanakan lebih rendah. Kita juga harap dapat komersialkan VAR dan mencari penaja untuk VAR ini,"katanya. - Sinar Harian