MFL, PFAM meterai perjanjian wujudkan sistem perlindungan pemain bola sepak
Bernama
Mei 3, 2023 08:45 MYT
Mei 3, 2023 08:45 MYT
KUALA LUMPUR: Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Pemain-Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) pada Selasa menandatangani Perjanjian Kolaborasi (Terma Rujukan) bagi mewujudkan sistem perlindungan pemain bola sepak profesional serta menjaga kepentingan kelab sukan tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL Stuart Ramalingam berkata kerjasama dengan PFAM itu antara usaha penting MFL untuk meningkatkan kualiti liga bola sepak profesional tempatan dari semua aspek terutamanya pengurusan kelab dan perkembangan karier pemain.
"MFL amat mengalu-alukan kolaborasi ini kerana kami percaya, kemajuan yang dicapai kelab dan pemain akan memberi refleksi kepada nilai sesebuah liga. Atas sebab itu, MFL telah mengambil langkah besar dan berani sebelum ini dengan melaksanakan proses penswastaan kelab serta melakukan penstrukturan Liga Malaysia.
"Justeru, kami melihat langkah proaktif bersama PFAM ini akan mewujudkan proses rangka kerja yang cekap antara persatuan itu dan MFL melalui proses dan mekanisme yang dipersetujui secara bersama," katanya dalam kenyataan dikeluarkan PFAM di sini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PFAM Izham Ismail berkata badan induk itu komited untuk bekerjasama dengan MFL bagi memastikan hak pemain dapat dilindungi, di samping mengekalkan integriti dan nilai komersial liga.
"Perjanjian Kolaborasi ini adalah bukti visi dan dedikasi PFAM yang dikongsi untuk membangunkan sektor bola sepak profesional di Malaysia," katanya.
-- BERNAMA