MFL mohon penonton lengkap dua dos vaksin dibenar ke stadium

Bernama
Ogos 18, 2021 20:50 MYT
Menurut Ab Ghani, syarat baharu bagi kebenaran itu adalah kemasukan ke stadium hanya dibenarkan kepada individu yang telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sekali lagi akan memohon kebenaran untuk penyokong menyaksikan perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) di stadium sebagai usaha merancakkan kembali saingan liga berkenaan.
Presiden MFL yang baharu Datuk Ab Ghani Hassan berkata badan pentadbir Liga-M itu telah menyediakan kertas kerja yang ditambah baik berserta beberapa syarat baharu untuk diserahkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Beliau berkata antara syarat baharu bagi kebenaran itu adalah kemasukan ke stadium hanya dibenarkan kepada individu yang telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19.
“Susulan kelonggaran (yang telah diberikan) kepada individu (lengkap dua dos), ia juga harus dipertimbangkan oleh MKN untuk benarkan penyokong (lengkap dua dos) pergi ke stadium,” katanya pada sidang media pertamanya sebagai Presiden MFL secara maya, hari ini.
Pada masa sama, Ab Ghani berkata MFL turut menaruh harapan supaya peratusan penyokong yang dibenarkan ke stadium dapat ditambah berbanding jumlah tertinggi yang diberikan sebelum ini iaitu 25 peratus kapasiti atau 8,000 penonton.
“MFL tidak minta banyak, kekalkan seperti sebelum ini atau jika boleh ditingkatkan supaya dapat memeriahkan Liga-M dan memberi kelegaan kepada penyokong. Saya harapkan ini dapat dipertimbangkan sewajarnya oleh MKN,” katanya.
Pada pertengahan Mac lepas, MKN akhirnya bersetuju membenarkan kehadiran penonton ke stadium atau venue bagi kejohanan sukan seperti Liga-M berkuat kuasa 1 April lalu, selepas lebih setahun saingan Liga-M berlangsung tanpa kehadiran penyokong susulan penularan pandemik COVID-19.
Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri dan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras yang dipilih sebagai projek perintis menilai keberkesanan protokol pengurusan penonton menjadi dua venue terawal menerima semula kehadiran penonton masing-masing pada 2 dan 3 April.
MKN selepas itu memberi kebenaran kepada MFL bagi membenarkan kembali kemasukan penonton ke stadium untuk kesemua perlawanan Liga-M bermula 6 April sebelum ‘keistimewaan’ itu ditarik balik susulan peningkatan kes COVID-19 di seluruh negara.
Sementara itu, Ab Ghani berkata MFL turut memohon kepada MKN supaya hanya pemain atau pegawai pasukan yang didapati positif COVID-19 sahaja perlu menjalani kuarantin, manakala pasukan dibenarkan beraksi dan mengendalikan sesi latihan seperti biasa.
Dalam pada itu, beliau berkata MFL akan berbincang mengenai calon bakal mengisi jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL yang kini dipangkunya pada mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL dijadual berlangsung Isnin depan.
Beliau mengesahkan setakat ini terdapat dua calon yang berada dalam senarai MFL untuk mengisi jawatan tersebut.
#Liga Bola Sepka Malaysia #MFL #Liga Malaysia #Liga-M #Ab Ghani Hassan #suntikan vaksin COVID-19
;