MFL kemuka SOP kehadiran penyokong ke stadium
Bernama
September 3, 2021 23:02 MYT
September 3, 2021 23:02 MYT
KUALA LUMPUR: Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini menyerahkan permohonan cadangan prosedur operasi standard (SOP) Liga Malaysia 2021 termasuk kebenaran untuk kemasukan semula penyokong yang telah lengkap vaksinasi.
MFL dalam kenyataan di Facebook menyebut permohonan itu diserahkan presidennya Datuk Ab Ghani Hassan ketika kunjung hormat ke atas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin di Putrajaya.
Menurut kenyataan itu, Khairy juga diberikan penjelasan mengenai perkembangan Liga Malaysia 2021 yang sudah bermula sejak 5 Mac lalu menerusi SOP ketat ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
"Ab Ghani mengucapkan tahniah atas pelantikan Khairy selaku Menteri Kesihatan baharu serta berterima kasih dengan kesudian beliau meluangkan masa mengadakan perbincangan mengenai perkembangan bola sepak tanah air yang terkesan akibat pandemik COVID-19," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA