MFL beri amaran beraksi tanpa penonton jika gagal patuhi SOP
Bernama
April 14, 2021 18:34 MYT
April 14, 2021 18:34 MYT
PETALING JAYA: Pasukan dalam Liga Malaysia (Liga-M) yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) membabitkan penonton, bakal berdepan hukuman beraksi tanpa 'pemain ke-12', demikian tegas Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Ab Ghani Hassan berkata pihaknya mendapat beberapa aduan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai terdapatnya pasukan dan penyokong mereka yang sering melanggar SOP ditetapkan dalam mengekang penularan COVID-19.
"Sekiranya tidak ada perubahan atau keadaan lebih teruk, maka ia akan menyebabkan kita tidak membenarkan penonton masuk untuk melihat perlawanan lagi. Setakat ini, venue yang gagal dalam pemantauan telah diberikan nasihat untuk ambil tindakan," katanya selepas Majlis Pelancaran dan Undian Unifi eMFL Liga Super 2021 hari ini.
Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan venue-venue terlibat.
Penonton dibenarkan kembali ke semua stadium kecuali Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, bermula 6 Apr lepas setelah percubaan di Stadium Sultan Ibrahim ketika Johor Darul Ta'zim menang 3-0 ke atas Melaka United pada 2 April dan di Stadium Kuala Lumpur, Cheras ketika Kuala Lumpur City FC terikat tanpa jaringan dengan Sabah FC, hari berikutnya.
Berdasarkan SOP di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), hanya 10 peratus kapasiti penonton atau 2,000 orang dibenarkan, dan untuk kawasan PKP Pemulihan (PKPP), 25 peratus kapasiti penonton atau 8,000 orang dibenarkan.
Ab Ghani turut menekankan bahawa perlawanan berlangsung dalam bulan Ramadan dijadual bermula pada 10 malam di Semenanjung, manakala di Sabah dan Sarawak perlawanan bermula pada 9.15 malam, dengan pintu stadium akan dibuka kepada penonton dua jam sebelum perlawanan dan ditutup 15 minit sebelum perlawanan bermula.
Berdasarkan SOP protokol pengurusan penonton, mereka hanya dibenarkan menggunakan tandas sebelum atau semasa perlawanan berlangsung, dan tidak dibenarkan ketika waktu rehat.
Sementara itu, Ab Ghani berkata edisi kedua eMFL Liga Super 2021 yang akan berlangsung pada 20 Apr hingga 9 Mei menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM50,000.
Pengarah Urusan Gamesbond Global Sdn Bhd Fazli Razak berkata pada edisi tahun ini, liga itu akan berlangsung dalam dua peringkat yang mana lapan pemain terbaik daripada 12 pemain, mara ke pusingan kalah mati manakala juara pula secara langsung terpilih bermain untuk ePiala Dunia FIFA.
Fazli berkata susulan pandemik COVID-19 tahun ini, pemain akan beraksi daripada kediaman masing-masing bermula dari peringkat awal hingga pusingan kalah mati dan perlawanan disiarkan dari tempat mereka.
Keputusan undian eMFL Liga Super 2021
ROSHAND: Terengganu FC
LUQMANHZQ: UiTM FC
AYEN: Melaka United FC
IMRANDEEN: Sri Pahang FC
SHIGE: Penang FC
FAVLAIN: Sabah FC
P3RLIS: Kuala Lumpur City FC
CHAMACK: Selangor FC
SYUMAIJING: Kedah Darul Aman FC
RAJABOLA: PJ City FC
AKMALJHD: Perak FC
SI JALI: Johor Darul Takzim FC
-- BERNAMA
#SOP
#Liga Malaysia
#Liga-M
#prosedur operasi standard
#penonton
#MFL
#Liga Bola Sepak Malaysia
#pandemik
#COVID-19