Mewakili negara satu penghormatan besar - Azizulhasni
Astro Arena
Ogos 31, 2016 23:17 MYT
Ogos 31, 2016 23:17 MYT
BINTANG berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang, sudah tidak sabar untuk memulakan pengembaraan menuju Tokyo 2020 di samping perkongsian semangat yang mendukungnya untuk membawa nama Malaysia.
Nilai gangsa daripada Azizul begitu besar buat Malaysia selepas mengambil kira aksi luar biasanya dalam Sukan Olimpik Rio dan pengorbanannya dalam sukan yang didominasi pelumba Eropah.
Atlet dengan jolokan 'The Pocket Rocketman' itu adalah pelumba Asia kedua untuk membawa pulang pingat daripada acara keirin sejak acara itu diperkenalkan di Sydney 2000.
Meskipun waktu terluang bersama peminat sukan tanah air dan keluarga digunakan sebaik mungkin, Azizul tetap memikirkan untuk sentiasa menunggang basikalnya serta program untuk tempoh bagi empat tahun akan datang.
"Selepas kembali dari Rio, dalam lima hari itu, saya dah 'gatal kaki' dan mula membuat latihan ringan.
"Latihan penuh saya mungkin akan bermula selepas dua atau tiga minggu.
"Saya dijangka akan pulang ke Melbourne pada akhir September atau awal Oktober.
"Jadi, dari situ saya akan memulakan latihan penuh macam biasa," jelasnya.
Azizul juga mahu rakyat Malaysia tahu atlet negara tidak memandang kemasyhuran dan kekayaan sebagai motivasi. Ini pengertian bergelar atlet negara daripada sudut hati The Pocket Rocketman.
"Ia satu penghormatan besar buat diri saya kerana dalam kalangan ramai rakyat Malaysia, saya antara yang dipilih untuk mewakili Malaysia di pentas antarabangsa.
"Saat memenangi medal dalam Sukan Olimpik adalah detik paling membanggakan dalam hidup saya."