Mesut Ozil umum bersara dari dunia bola sepak
Astro Awani
Mac 22, 2023 19:47 MYT
Mac 22, 2023 19:47 MYT
KUALA LUMPUR: Mesut Ozil mengumumkan persaraannya sebagai pemain bola sepak profesional pada usia 34 tahun.
Bekas pemain tengah Real Madrid dan Arsenal itu berkongsi tentang keputusannya melalui hantaran di Instagram pada Rabu.
“Selepas membuat pertimbangan, saya ingin mengumumkan persaraan saya secara serta-merta daripada bola sepak profesional.
“Saya amat beruntung dapat menjadi pemain bola sepak profesional selama hampir 17 tahun dan saya bersyukur atas peluang ini.
“Namun, sejak beberapa minggu dan bulan yang lepas, serta selepas mengalami kecederaan, semakin jelas bahawa sudah tiba masanya untuk meninggalkan pentas bola sepak,” kata atlet warga Jerman itu.
Beliau berterima kasih kepada semua pasukan yang pernah memberinya peluang serta kepada ahli keluarga dan sahabat rapat atas sokongan yang diberi sepanjang kariernya.
Ozil memulakan kariernya dalam Bundesliga Jerman bersama Schalke dan Werder Bremen, sebelum mencipta nama di pentas dunia bersama Real Madrid serta bersama pasukan Jerman di Piala Dunia.
Prestasinya mendapat perhatian Arsene Wenger yang membawanya masuk pasukan Arsenal dengan kontrak bernilai 42.5 juta pound sterling pada 2013.
Namun, pada penghujung kontraknya bersama Arsenal, Ozil mengeluarkan kenyataan bagi menyuarakan pendiriannya terhadap isu penindasan ke atas masyarakat Uyghur di Xinjiang yang dipercayai menjadi salah satu punca ketidaksefahaman antara Ozil dan pihak pengurusan Arsenal.
Pada 2021, Ozil berpindah ke Turki untuk menyertai pasukan Fenerbahce sebelum berpindah ke pasukan Basaksehir pada 2022.