Messi tiada dalam perancangan Barcelona - Laporta

Astro Arena
Mac 29, 2022 11:57 MYT
Messi meninggalkan Barcelona musim lalu berikutan masalah kewangan kelab itu. - Foto REUTERS
KEPULANGAN Lionel Messi ke pangkuan Barcelona bukanlah sesuatu yang difikirkan presiden kelab itu, Joan Laporta.
Laporta memberikan komen mengenai situasi itu selepas Dani Alves dan Pedri berkata mereka gembira sekiranya dapat melihat bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu kembali ke Camp Nou.
Messi, 34, meninggalkan Barcelona musim lalu berikutan masalah kewangan kelab itu, yang menghalang pemain terbaik dunia berkenaan menandatangani kontrak baru.
Bercakap kepada RAC 1, Laporta menjelaskan bahawa dia langsung tidak berhubung dengan bintang Argentina berkenaan.
"Ketika ini, tiada sebarang komunikasi dan saya tidak bercakap dengannya. Saya tidak menghubunginya secara peribadi.
"Dia berada di Paris tetapi saya mengingatinya dengan rasa kagum. Saya sedar apa yang sedang diperkatakan tetapi saya tidak bercakap dengannya. Saya mendengarinya daripada komen orang yang rapat dengan saya.
"Saya tidak menerima sebarang mesej daripada Leo atau daripada orang sekelilingnya mengenai kepulangannya. Sejujurnya, ia tiada dalam perancangan kami buat ketika ini.
"Kami sedang membina pasukan muda yang digabungkan dengan beberapa pemain berpengalaman, mewujudkan simbiosis yang akan berhasil sekali lagi.
"Tetapi Leo tetap Leo, pemain terbaik dunia. Dia layak dihormati sama ada sebagai seorang pemain atau individu. Dia seorang juara tetapi ia bukan sesuatu dalam perancangan kami," katanya.
#Lionel Messi #barcelona #Nou Camp #PSG #Joan Laporta
;