Messi semakin bertambah baik - Valverde

Astro Arena
Oktober 24, 2019 13:31 MYT
Lionel Messi beraksi dalam perlawanan UCL Kumpulan F antara Slavia Praha dan FC Barcelona di Stadium Sinobo, Prague, Czech Republic, 23 Okt, 2019. (Foto AP)
SLAVIA PRAGUE 1 BARCELONA 2
Ketua jurulatih Barcelona, Ernesto Valverde, memberi pujian kepada Lionel Messi apabila melakar rekod baru ketika membantu pasukan meraih kemenangan dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi tadi.
Messi memahat rekod baru UCL dengan jaringannya ketika mengatasi Slavia Prague 2-1 dalam aksi Kumpulan F.
Jaringan minit ketiga kapten Barca itu menjadikannya pemain pertama menjaringkan gol selama 15 musim berturut-turut, di samping menyamai rekod Cristiano Ronaldo dan legenda Real Madrid, Raul, apabila berjaya meledak gol ke atas 33 lawan yang berbeza dalam saingan Eropah itu.
Valverde memuji kemampuan Messi, dengan memberitahu, "Dia adalah pemain yang mampu menentukan keputusan mana-mana perlawanan. Setiap hari, dia tidak pernah berhenti menampilkan permainan yang lebih baik.
"Satu lagi rekod yang cemerlang buat Messi. Ia mudah untuk dikatakan, kelihatan seperti sesuatu yang semula jadi tetapi sukar untuk dicapai."
Selepas jaringan pembukaan Messi, Slavia menyamakan kedudukan menerusi Jan Boril pada minit ke-50 tetapi tuah memihak juara LaLiga itu apabila Peter Olayinka melakukan jaringan sendiri ketika menepis percubaan Luis Suarez.
Kemenangan itu menyaksikan Barca mengumpul tujuh mata selepas tiga perlawanan, berkelebihan tiga mata ke atas Inter dan Borussia Dortmund.
Mengenai Messi, pemain tengah Barca, Sergio Busquets, pula berkata, "Dia mengharungi permulaan yang sukar musim ini kerana mengalami kecederaan.
"Kini dia mula mendapatkan rentak tetapi ia tidak mengambil masa yang lama kerana dia pemain terbaik dunia."
#barcelona #Cristiano Ronaldo #Ernesto Valverde #Liga Juara-Juara #Lionel Messi #Luis Suarez #Real Madrid #Slavia Prague #UCL
;