Messi sasar Piala Dunia 2026, kata jurulatih Argentina, Lionel Scaloni
Agensi
Januari 31, 2025 08:20 MYT
Januari 31, 2025 08:20 MYT
LEGENDA bola sepak Argentina, Lionel Messi meluahkan keinginannya untuk beraksi dalam Piala Dunia 2026, tetapi masih terlalu awal untuk membuat sebarang pengumuman rasmi, kata jurulatih kebangsaan negara itu, Lionel Scaloni, pada Khamis.
Scaloni yang memimpin Argentina meraih gelaran Piala Dunia 2022 di Qatar, menjelaskan keinginan pemain berusia 37 tahun itu yang juga pemenang Ballon d'Or sebanyak lapan kali untuk kekal dalam skuad.
“Perkara pertama yang perlu dikatakan adalah bahawa dia (Messi) dan rakan-rakannya sedar bahawa masih ada masa yang munasabah dan mereka semua bersemangat untuk bermain di Piala Dunia,” kata Scaloni kepada DSPORTS.
“Kita perlu tunggu dan lihat bagaimana perkembangan seterusnya. Dia tahu apa yang kami fikirkan dan dia adalah yang paling bijak antara kami semua,” tambah jurulatih itu.
Scaloni turut menyentuh mengenai keputusan bekas penyerang Argentina, Angel Di Maria, untuk bersara dari bola sepak antarabangsa selepas memenangi trofi Copa America kedua pada tahun lalu.
“Dari apa yang dia katakan, ia sudah berakhir. Dan dengan cara terbaik yang mungkin. Jika dia menulis filemnya, bukunya, kisah bola sepaknya, saya rasa dia tidak akan menulisnya sebaik mana beliau menamatkannya (karier bola sepak),” kata Scaloni lagi. - Reuters