Messi, Ronaldo bertemu di.... lapangan terbang
Ian Johan Ariff, Israr Khalid
Jun 30, 2018 06:42 MYT
Jun 30, 2018 06:42 MYT
ADIOS, Messi. Tchau, Ronaldo!
Dua pemain terbaik dunia era ini, Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo terpaksa mengucapkan selamat tinggal lebih awal apabila cabaran mereka di Piala Dunia FIFA 2018 Rusia berakhir, selepas pasukan masing-masing kecundang di pusingan 16 terakhir.
Messi yang sudah letih, gagal menjelmakan lagi magis bersama Argentina apabila mereka tewas 4-3 kepada Perancis dalam perlawanan penuh drama di Kazan.
Ketika Ronaldo berpeluang menamatkan segala perdebatan tentang siapa pemain terhebat sepanjang zaman susulan kegagalan Messi itu, penyerang prolifik itu juga tidak berdaya membawa Portugal melepasi tentangan bekas juara dua kali, Uruguay.
Namun kedua-dua ini masih mempunyai kebarangkalian untuk bertemu, bukan di atas padang, tetapi di lapangan terbang.
Mbappe ranapkan impian Piala Dunia Messi, Argentina
Argentina terlebih dahulu goyah apabila Perancis dianugerahkan sepakan penalti, selepas Marcus Rojo didapati menjatuhkan Kylian Mbappe pada seawal minit ke-11.
Antoine Griezmann tenang menyempurnakan penalti itu ke tengah gawang, memperdaya penjaga gol muda Franco Armani untuk Les Blues mendahului permainan.
Empat minit sebelum tamat separuh masa pertama, Angel Di Maria menggamatkan penyokong La Albiceleste apabila menjaringkan gol penyamaan dari jarak jauh yang gagal dicapai Hugo Lloris.
Lain pula ceritanya di babak kedua, apabila pendahuluan Argentina direntap pada minit ke-57 oleh voli jarak jauh amat menakjubkan daripada Benjamin Pavard, yang merupakan gol pertamanya pada penampilan pertama di pentas Piala Dunia.
Kepincangan skuad kendalian Jorge Sampaoli terus dihukum anak buah Didier Deschamps apabila bintang muda, Mbappe meledak dua gol dalam masa empat minit bermula minit ke-64.
Rekod itu menjadikannya remaja berusia 19 tahun pertama yang melakar ‘brace’, ataupun dua gol masing-masing dengan kaki kiri dan kanan, di pentas Piala Dunia sejak 1958 yang dilakukan legenda Brazil, Pele.
Messi cuba mencetuskan magis sehingga ke masa kecederaan dengan membantu Sergio Aguero menjaringkan gol ketiga pasukannya pada minit ke-93 namun tiada apa lagi yang mampu dilakukan apabila wisel penamat dibunyikan dua minit kemudian.
Ronaldo gagal menyinar
Bagi Edinson Cavani dan Luis Suarez ini adalah peluang terakhir mereka untuk menjulang Piala Dunia.
Pada usia 30-an, mereka kelihatan lebih matang di padang, terutama kali Suarez yang sebelum ini sering dipalit dengan kontroversi masalah disiplin.
Uruguay terlebih dahulu menembusi gawang Portugal apabila Cavani menanduk masuk gol pertama pasukannya selepas menerima hantaran Suarez.
Ronaldo turut mencuba pelbagai percubaan jarak jauh untuk cuba mendapat gol penyamaan namun gagal menepati sasaran ataupun berjaya dihalang pertahanan Uruguay.
Dalam babak kedua, Adrien Silva melepaskan satu tendangan dari kotak penalti selepas menerima hantaran Ronaldo, namun bola terkena pertahanan Uruguay untuk Portugal mendapat sepakan sudut.
Peluang itu dimanfaatkan sepenuhnya Portugal apabila sepakan sudut Raphael Guerreiro ditanduk masuk Pepe untuk kedudukan satu sama pada minit ke-55.
Bagaimanapun kegembiraan penyokong portugal tidak kekal lama apabila rembatan melencong yang dibuat Cavani berjaya menewaskan Rui Patricio untuk Uruguay kembali di depan 2-1.
Uruguay berjaya bertahan sehingga ke wisel penamat dan bakal bertemu Perancis di suku akhir.
#Adrien Silva
#Argentina
#Awani FIFA
#Cristiano Ronaldo
#Edinson Cavani
#Lionel Messi
#Luis Suarez
#Perancis
#Piala Dunia 2018
#Portugal
#Raya Bola 2018
#Uruguay