Messi raih RM528.9 juta atasi Ronaldo

Ian Johan Ariff
Jun 12, 2019 11:19 MYT
Lionel Messi dari Barcelona muncul atlet termahal di dunia bagi 2019 berdasarkan senarai majalah Forbes. - Foto AP/fail.
BINTANG Barcelona, Lionel Messi mengatasi Cristiano Ronaldo sebagai atlet yang dibayar paling lumayan dalam tempoh 12 bulan yang lepas, apabila sejumlah AS$127 juta (RM528.9 juta), berdasarkan senarai 100 atlet terbaik yang dikeluarkan majalah Forbes.
Ronaldo pula berada di kedudukan kedua dengan AS$109 juta (RM453.9 juta) diikuti penyerang Paris St-Germain, Neymar dengan pendapatan AS$105 juta (RM437.2 juta).
Bintang tinju, Floyd Mayweather yang mengungguli carta tersebut tahun lepas pula tidak tersenarai dalam senarai Forbes tahun ini.
Majalah bisnes Amerika Syarikat (AS) itu mengira pendapatan atlet-atlet tersebut berdasarkan wang kemenangan, gaji dan perjanjian penajaan.
Secara keseluruhan, sebanyak AS$4 bilion (RM16.7 bilion) dibayar kepada 100 atlet termahal dalam senarai Forbes menyaksikan peningkatan sebanyak lima peratus berbanding tahun lepas apabila Mayweather mengungguli senarai tersebut dengan pendapatan sebanyak AS$285 juta (RM1.2 bilion).
Sukan bola keranjang mencatat senarai pendapatan tertinggi daripada senarai 100 atlet tersebut apabila 35 atlet dari Liga Bola Keranjang NBA meraih AS$1.3 bilion (RM5.4 bilion).
Sementara sukan bola sepak Amerika (American football) berada di kedudukan kedua dengan AS$775 juta (RM3.2 bilion) diikuti bola sepak pula dengan AS$607 juta (RM2.5 bilion).
Lebih daripada separuh atlet yang tersenarai adalah dari AS iaitu 62 orang berbanding 38 orang dari 24 negara lain.
Berikut senarai 10 atlet termahal di dunia bagi 2019:
1. Lionel Messi (bola sepak) - RM528.9 juta
2. Cristiano Ronaldo (bola sepak) - RM453.9 juta
3. Neymar (bola sepak) - RM437.2 juta
4. Canela Alvarez (tinju) - RM391.4 juta
5. Roger Federer (tenis) - RM388.9 juta
6. Russel Wilson (bola sepak Amerika) - RM372.7 juta
7. Aaron Rodgers (bola sepak Amerika) - RM371.8 juta
8. LeBron James (bola keranjang) - RM370.6 juta
9. Stephen Curry (bola keranjang) - RM332.3 juta
10. Kevin Durant (bola keranjang) - RM272.3 juta
#Aaron Rodgers #barcelona #Canela Alvarez #Cristiano Ronaldo #Floyd Mayweather #Forbes #Kevin Durant #LeBron James #Lionel Messi #Messi raih RM528 9 juta atasi Ronaldo #NBA #PSG #Roger Federer #Russel Wilson #Stephen Curry #world highest paid athletes
;