Messi kembali sertai skuad kebangsaan Argentina

Astro Arena
November 1, 2019 09:03 MYT
Lionel Messi menjaringkan gol pada perlawanan La Liga Sepanyol antara Barcelona FC dan Valladolid CF di Stadium Camp Nou, Barcelona, Sepanyol, 29 Okt, 2019. (Foto AP)
PENYERANG Barcelona, Lionel Messi, akan kembali ke pangkuan skuad kebangsaan Argentina bagi menghadapi Brazil dan Uruguay dalam aksi persahabatan bulan ini.
Bintang bola sepak dunia itu digantung tiga bulan dan didenda sebanyak US$50,000 (RM208,940) oleh Konfederasi Bolasepak Amerika Selatan (CONMEBOL) kerana menuduh badan induk itu mengamalkan rasuah selepas pasukannya tewas kepada Brazil dalam separuh akhir Copa America.
Pemain berusia 32 tahun itu terlepas keempat-empat perlawanan persahabatan terakhir Argentina tetapi berada dalam senarai 26 pemain yang dipilih ketua jurulatih, Lionel Scaloni.
Penyerang Manchester City, Sergio Aguero, turut disenaraikan buat kali pertama selepas pasukan itu menewaskan Chile 2-1 dalam penentuan tempat ketiga Copa America manakala pemain tengah Tottneham Hotspur, Giovani Lo Celso, akan kembali beraksi selepas diketepikan ketika terikat seri dengan Jerman dan kemenangan ke atas Ecuador bulan lalu.
Bagaimanapun, masih tiada tempat buat penyerang Paris Saint-Germain (PSG), Mauro Icardi, dengan kali terakhir bekas pemain Inter Milan itu terpilih mewakili pasukan kebangsaannya ialah ketika menentang Mexico pada November tahun lalu.
Rakan sepasukannya, Angel Di Maria, yang terpinggir dalam saingan Copa America lalu, turut tidak tersenarai.
Argentina akan bertemu Brazil di Riyadh, Arab Saudi pada 15 November ini sebelum berlepas ke Tel Aviv, Israel, untuk berdepan Uruguay tiga hari kemudian.
Senarai pemain Argentina:
Agustin Marchesin (Porto), Emiliano Martinez (Arsenal), Esteban Andrada (Boca Juniors), Juan Musso (Udinese), German Pezzella (Fiorentina), Juan Foyth (Tottenham), Marcos Rojo (Manchester United), Nehuen Perez (Famalicao), Nicolas Otamendi (Manchester City), Nicolas Tagliafico (Ajax), Renzo Saravia (Porto), Walter Kannemann (Gremio), Giovani Lo Celso (Tottenham), Guido Rodriguez (Club America), Leandro Paredes (Paris Saint-Germain), Lucas Ocampos (Sevilla), Marcos Acuna (Sporting CP), Nicolas Dominguez (Velez Sarsfield), Roberto Pereyra (Watford), Rodrigo de Paul (Udinese), Lautaro Martinez (Inter Milan), Lionel Messi (Barcelona), Lucas Alario (Bayer Leverkusen), Nicolas Gonzalez (Stuttgart), Paulo Dybala (Juventus), Sergio Aguero (Manchester City).
#aksi persahabatan #Argentina #barcelona #bola sepak #Brazil #CONMEBOL #Copa America #denda #digantung tiga bulan #Konfederasi Bolasepak Amerika Selatan #Lionel Messi #Manchester United #Rasuah #Uruguay
;