Messi, Haaland rebut gelaran pemain terbaik Eropah
Sinar Harian
Ogos 18, 2023 12:53 MYT
Ogos 18, 2023 12:53 MYT
DUO bintang Manchester City, Kevin De Bruyne dan Erling Haaland antara tiga finalis yang dicalonkan untuk anugerah Pemain Lelaki terbaik UEFA bersama Lionel Messi, kata badan induk bola sepak Eropah itu pada Khamis.
Ketiga-tiga mereka muncul sebagai penerima undi utama juri yang terdiri daripada jurulatih kelab dalam pertandingan UEFA, mereka yang bertanggungjawab ke atas pasukan kebangsaan Eropah dan sekumpulan wartawan terpilih.
Pemenang hadiah itu akan diumumkan pada 31 Ogos di Monaco yang turut dilangsungkan bersama majlis undian kumpulan Liga Juara-Juara.
Haaland menamatkan saingan sebagai penjaring terbanyak Liga Juara-Juara musim lalu dengan 12 gol, manakala De Bruyne yang mencipta tujuh bantuan gol memainkan peranan penting untuk City menjulang trofi Liga Juara-Juara buat kali pertama.
Messi, yang meninggalkan Paris Saint-Germain (PSG) untuk menyertai Inter Miami pada musim panas lalu, memenangi Piala Dunia 2022 bersama Argentina sekali gus melengkapkan trofi miliknya sebagai seorang pemain.
Pep Guardiola pula adalah antara calon jurulatih terbaik selepas memimpin kelab itu merangkul treble Liga Perdana, Piala FA dan Liga Juara-Juara musim lalu.
Dia disertai oleh pengendali kelahiran Itali Simone Inzaghi, yang membawa Inter Milan ke final Liga Juara-Juara, dan Luciano Spalletti, jurulatih yang menamatkan penantian 33 tahun Napoli untuk kejuaraan Serie A.
*Artikel disiarkan di Sinar Harian