Messi, Haaland rebut Ballon d'Or, Ronaldo tersisih
Sinar Harian
September 7, 2023 11:06 MYT
September 7, 2023 11:06 MYT
LIONEL Messi dan Erling Haaland antara calon utama untuk memenangi Ballon d'Or bagai kategori pemain bola sepak lelaki tahun ini, manakala Bintang Piala Dunia Sepanyol, Aitana Bonmati mengetuai calon pemain wanita terbaik.
Messi yang meninggalkan Paris Saint-Germain (PSG) untuk menyertai Inter Miami berpeluang memenangi Ballon d'Or buat kali kelapan dalam kariernya selepas memimpin Argentina meraih kejayaan Piala Dunia di Qatar tahun lalu.
Haaland mungkin menjadi saingan utamanya untuk hadiah itu selepas menjaringkan 52 gol dalam 53 perlawanan untuk membantu Manchester City memenangi Liga Juara-Juara, Liga Perdana Inggeris dan Piala FA musim lalu.
Penyerang Norway itu turut memenangi anugerah Pemain Terbaik UEFA untuk musim lalu.
Kylian Mbappe dari PSG dan rakan sepasukan Haaland, Kevin De Bruyne turut dinamakan antara 30 calon untuk trofi tersebut yang akan diumumkan di Paris pada 30 Oktober.
Karim Benzema yang menamatkan tempoh 14 tahun kariernya di Real Madrid pada bulan Jun dan berpindah ke Kelab Saudi Al-Ittihad juga turut dicalonkan.
Bagaimanapun, pemain Portugal, Cristiano Ronaldo yang memenangi anugerah itu sebanyak lima kali tidak menerima pencalonan buat kali pertama dalam tempoh 20 tahun.
Bonmati, pemenang anugerah Pemain wanita UEFA muncul pilihan untuk memenangi Ballon d'Or selepas menjadi pemain terbaik ketika Sepanyol mengangkat Piala Dunia di Sydney bulan lalu.
Dia turut menyinar ketika Barcelona memenangi Liga Juara-Juara Wanita dan berharap dapat menyamai pencapaian rakan sepasukan kelab dan antarabangsa Alexia Putellas, pemenang bagi dua tahun terakhir.
Putellas tidak dicalonkan kali ini kerana jarang beraksi dengan Barcelona musim lalu selepas mengalami kecederaan ligamen lutut yang teruk pada Julai 2022 yang menyaksikannya diketepikan selama sembilan bulan.
Bonmati adalah seorang daripada empat anggota skuad juara Piala Dunia Sepanyol dicalonkan, di samping Olga Carmona, Salma Paralluelo dan Alba Redondo.
Rakan senegara mereka Patricia Guijarro dan Mapi Leon turut disenaraikan.
Kedua-dua pemain Barcelona itu tidak beraksi pada Piala Dunia selepas muncul antara kalangan 15 pemain yang berkata tahun lalu mereka tidak lagi mahu bermain untuk Sepanyol kerana membantah terhadap persekutuan bola sepak negara itu dan jurulatih Jorge Vilda.
Turut disenaraikan dalam 30 kalangan calon penyerang Chelsea dan Australia, Sam Kerr serta penjaga gol England, Mary Earps. - Sinar Harian