Messi gagal urus diri - Setiausaha Persatuan Bolasepak Argentina

Astro Arena
Oktober 5, 2016 11:41 MYT
Jorge Miadosqui menjangkakan Lionel Messi (gambar) akan bersedia untuk menghadapi perlawanan getir berdepan Brazil dan Colombia bulan depan. - REUTERS / Fail
LIONEL Messi tidak menjaga dirinya dengan baik kerana keinginannya untuk sentiasa beraksi, kata Setiausaha Persatuan Bolasepak Argentina (AFA), Jorge Miadosqui.
Messi, 29, direhatkan sejak 21 September kerana mengalami masalah kecederaan pangkal paha ketika Barcelona seri 1-1 dengan Atletico Madrid di Camp Nou.
Ini bermakna ketua pasukan skuad Albiceleste itu tidak akan terbabit dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Peru dan Paraguay pada bulan ini.
Kecederaan otot yang menimpa penyerang itu mendorong ketua jurulatih Argentina, Edgardo Bauza, menuntut kelab dan negara itu bekerjasama dengan lebih rapat untuk memastikan Messi mengekalkan kecergasannya.
Namun, Miadosqui, yang dilantik oleh AFA pada Ogos, percaya Messi tidak membantu dirinya sendiri berikutan keazamannya untuk tidak direhatkan bagi perlawanan-perlawanan tertentu.
"Seorang yang tidak berhati-hati adalah pemain yang sentiasa ingin beraksi," katanya kepada Radio ESPN. "Kami semua perlu memantaunya bersama-sama."
"Saya berpendapat pasukan kebangsaan telah menjaga pemain-pemain dengan cara terbaik. Kami menghantar doktor untuk pembedahan Augusto Fernandez, dan beliau turut merawat Messi. Kami perlu memantau semua pemain kebangsaan."
Miadosqui menjangkakan Messi akan bersedia untuk menghadapi perlawanan getir berdepan Brazil dan Colombia bulan depan, namun dia yakin pasukan kendalian Bauza itu mampu mengharungi aksi menentang Peru dan Paraguay tanpa ketua pasukan itu.
"Dia akan kembali beberapa minggu lagi, kami berharap dapat memanggilnya untuk perlawanan pada bulan November," katanya.
"Saya berterima kasih kepada pemain yang hadir kerana mereka melakukannya demi negara, demi kegemilangan.
"Anda perlu memikirkan mereka mampu mencapai keputusan baik tanpanya. Kami memiliki pemain hebat untuk melakukannya dan anda perlu bertenang mengenainya."
Selepas lapan perlawanan, Argentina kini menduduki tangga ketiga dalam kelayakan Piala Dunia di zon Amerika Selatan, satu mata dipisahkan dengan pendahulu, Uruguay.
#Edgardo Bauza #Jorge Miadosqui #Lionel Messi #Persatuan Bolasepak Argentina
;