Messi dikeluarkan sebagai langkah berjaga-jaga, kata Pochettino

Astro Arena
Oktober 30, 2021 10:49 MYT
Dari kiri, Lionel Messi, Neymar dan Juan Bernat bersedia untuk mengambil sepakan percuma ketika perlawanan Ligue 1 antara PSG dan Lille di Stadium Parc des Princes, Paris, 29 Okt, 2021. (Foto AP)
TINDAKAN mengeluarkan Lionel Messi pada separuh masa perlawanan menentang Lille awal pagi tadi adalah sebagai berjaga-jaga dan pemain itu akan dapat diturunkan Paris Saint-Germain (PSG) dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang RB Leipzig, kata ketua jurulatih pasukan gergasi Ligue 1 itu, Mauricio Pochettino.
Pemain kebangsaan Argentina itu pada awalnya berdepan risiko tidak diturunkan menentang Lille dalam perlawanan Ligue 1 berkenaan dan hanya dapat bermain selama 45 minit sebelum digantikan dengan Mauro Icardi ketika pasukannya ketinggalan 0-1 gara-gara sentuhan pemusnah Jonathan David Strike dalam babak pertama.
PSG kemudian menamatkan aksi di Parc des Princes itu dengan kemenangan 2-1 hasil jaringan Marquinhos dan Angel Di Maria untuk kembali ke landasan kemenangan dan melebarkan kelebihan kepada 10 mata di depan pencabar terdekat, Lens, yang berkelebihan satu perlawanan dalam tangan.
Aksi di bawah tahap sebenar Messi menjadi perbualan utama selepas perlawanan itu tetapi Pochettino menjangkakan pemenang enam kali Anugerah Ballon d'Or berkenaan tidak lagi akan direhatkan.
"Kami tidak rasa dia cedera. Dia berjumpa dengan doktor sebagai langkah berjaga-jaga, sesuai dengan saranan staf perubatan kami," kata Pochettino dalam sidang media selepas perlawanan itu.
"Dia diharapkan akan dapat diturunkan dalam perlawanan selepas ini."
PSG seterusnya akan bertandang ke Jerman bagi pertemuan UCL menentang Leipzig awal pagi Khamis ini.
#Mauricio Pochettino #Lionel Messi #Ligue 1 #PSG
;