Messi cecah 50 gol buat tahun keenam berturut-turut
Astro Arena
Disember 22, 2019 10:32 MYT
Disember 22, 2019 10:32 MYT
LIONEL Messi mencecah rekod jaringan melebihi 50 gol buat tahun keenam berturut-turut dengan menjaringkan satu gol ketika Barcelona menewaskan Deportivo Alaves 4-1 di Camp Nou lewat malam tadi.
Pemain berusia 32 tahun itu menghasilkan jaringan lencong dari jarak 25 ela pada minit ke-69 untuk Barca mengekalkan kedudukan teratas dalam LaLiga.
Gol Messi itu mengembalikan kelebihan dua gol buat Barca selepas Alaves memberikan respons kepada jaringan awal Antoine Griezmann dan Arturo Vidal dengan gol Pere Pons.
Penyerang Argentina itu menjaringkan 50 gol daripada 58 perlawanan untuk kelab dan negaranya sepanjang tahun ini.
Dia turut menghasilkan 18 bantuan jaringan bagi menamatkan tahun gemilangnya, yang menyaksikan dia turut memecahkan satu lagi rekod dengan gelaran Ballon d'Or keenam.
Daripada 50 jaringan itu, 34 daripadanya terhasil dalam 32 perlawanan LaLiga, lapan dalam Liga Juara-Juara Eropah dan tiga dalam Copa del Rey.
Lima gol lagi hadir daripada 10 penampilan bersama skuad kebangsaan Argentina.
Ketekalan Messi itu menyaksikan dia menjaringkan 50 gol atau lebih dalam sembilan daripada 10 tahun terakhir -- hanya gagal melakukannya pada 2013 (45 gol).
2012 merupakan tahun terbaiknya apabila bintang dunia itu menjaringkan 91 gol.