Messi bantah penggantungan terhadapnya
Astro Arena
Mac 30, 2017 10:35 MYT
Mac 30, 2017 10:35 MYT
KAPTEN Argentina, Lionel Messi, mengaku tidak bersalah selepas digantung empat perlawanan akibat menghina pegawai perlawanan, dengan menegaskan kata-katanya ditujukan 'ke udara'.
Bintang Barcelona itu menjaringkan gol tunggal perlawanan dalam kemenangan kelayakan Piala Dunia menentang Chile, tetapi pertembungan dengan pembantu pengadil dalam separuh masa kedua membawa kepada penggantungan ke atasnya, empat jam sebelum perlawanan penting kedua dengan Bolivia.
Argentina tewas 0-2 di La Paz tanpa Messi dan dia menegaskan bahawa penggantungan itu tidak adil kerana dia tidak menujukan kekecewaannya terhadap pegawai terbabit.
"Kata-kata saya tidak pernah ditujukan kepada pembantu (pengadil), tetapi ia ditujukan ke udara" katanya dalam satu kenyataan yang dilaporkan oleh La Nacion.
Argentina telah mengumumkan hasrat untuk membuat rayuan terhadap penggantungan itu, yang juga akan menyaksikan ketiadaan Messi untuk perlawanan kelayakan menentang Uruguay, Venezuela dan Peru.
"Kami terkejut dengan keputusan yang telah diambil," kata setiausaha pasukan kebangsaan, Jorge Miadosqui, hari ini. "Kami amat marah kerana cara ia dikendalikan (keputusan) hanya beberapa jam sebelum perlawanan.
"Kami akan membuat rayuan kepada FIFA. Terdapat (contoh) sebelumnya untuk mempercayai hukuman itu boleh dikurangkan. Messi sedih, seperti kita semua. Kami tidak bersetuju dengan cara ia dikendalikan."
Argentina berada di tempat kelima dalam kelayakan Piala Dunia zon CONMEBOL dengan baki enam perlawanan. Empat pasukan teratas mara secara automatik ke Russia, dan skuad di tempat kelima akan bermain dalam play-off.