Messi, aksi konsisten jadi ramuan penting Argentina bakal bergelar juara
Astro Arena
Julai 2, 2015 17:11 MYT
Julai 2, 2015 17:11 MYT
Jangkaan memang dari awal sentiasa tinggi terhadap Argentina sebelum mereka melakukan sepakan pertama lagi di La Serena tapi skuad La Albiceleste sudah pun mengesahkan tempat dalam final Copa America 2015.
Barisan bimbingan Gerardo Martino berharap untuk memenangi trofi juara buat julung kali sejak 1993 serta menamatkan kemarau 22 tahun tanpa sebarang gelaran utama.
Menyusuli kekecewaan dalam Piala Dunia tahun lalu, beberapa pemain sudah menyuarakan keghairahan meluap-luap mereka untuk akhirnya bergelar juara pada Sabtu ini.
Ada lima faktor kenapa Argentina harus mencapainya:
Messi dan sumbangan keseluruhan besarnya terhadap pasukan:
Di sebalik jaringan sangat kurang daripadanya, Messi masih seorang bintang dengan mengilhamkan gerakan dan membantu jaringan. Martino memilih lebih kerap menurunkannya di sayap kanan – sama seperti Luis Enrique banyak menggunakan pemain itu di Barcelona. Kelicikan Messi turut banyak membuka ruang, sekalipun ketika berdepan corak bertahan paling ketat,untuk dimanfaatkan rakan sepasukan membuat jaringan.
Argentina miliki barisan berbakat besar di barisan serangan:
Ini antara sebab La Albiceleste menjadi pilihan ramai untuk muncul juara – seperti yang dipamerkan mereka ketika membelasah Paraguay 6-1. Di sebalik mereka berhempas-pulas di peringkat kumpulan, namun kemenangan dalam separuh akhir itu adalah penyuntik semangat yang dicari-cari mereka. Setiap pemain pastinya kini lebih berkeyakinan sambil Chile tidak boleh tertumpu kepada Messi semata-mata.
Kesebelasan permulaan tidak banyak diubah oleh Martino:
Kalau pun ada pertukaran, ia sekadar minimum atau sementara saja. Sebelum Copa bermula pun, jurulatih itu sudah menetapkan kesebelasan pilihannya. Facundo Roncaglia and Ever Banega diturunkan dalam perlawanan pertama tapi sejak itu, Pablo Zabaleta dan Lucas Biglia dikekalkan. Malah, apa juga perubahan tidak menjejaskan teras pasukan mahupun taktik yang diterapkan Martino.
Argentina bukan asing kepada perlawanan yang memberikan tekanan tinggi:
Mereka mara ke perlawanan akhir Piala Dunia tahun lalu sebelum tunduk kepada Jerman dalam masa tambahan. Ia satu pengalaman yang masih melukakan hati pemain dan harus memuncakkan semangat mereka untuk menebusnya. Malah, ia akan menjadi kelebihan buat Argentina andai final Sabtu ini gagal diputuskan dalam tempoh 90 minit. Sebelum ini, Argentina turut menang penentuan sepakan penalti ketika berdepan Colombia dalam suku akhir.
Ramai pemain Argentina sudah memenangi gelaran utama bersama kelab:
Gara-gara itu, kesebelasan Argentina lebih arif dalam mempersiapkan diri menghadapi perlawanan sebesar ini. Buat Chile pula, kebanyakan pemainnya akan tampil bersama dalam final bagi kali pertama dan tiada siapa tahu bagaimana mereka dapat mengatasi kegemuruhan nanti. Pada masa yang sama, Argentina adalah lawan terhebat yang akan dihadapi pasukan tuan rumah itu.
Sebagai rumusannya, final ini akan menjadi ujian paling getir, lebih kepada Chile berbanding Argentina, tapi andainya persembahan masing-masing dalam separuh akhir menjadi kayu pengukurnya, kita harus dapat mengagak di bandaraya mana trofi Copa America ini bakal tersimpan.