Messi akhirnya atasi rekod Supermokh
Sinar Harian
Oktober 1, 2022 10:10 MYT
Oktober 1, 2022 10:10 MYT
DUA gol dijaringkan oleh Lionel Messi ketika merakam kemenangan ke-100 bersama pasukan kebangsaan Argentina baru-baru ini sudah cukup untuk pemain itu mengatasi rekod jaringan legenda bola sepak tanah air, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari di peringkat antarabangsa.
Pada Rabu lalu, bintang Paris Saint Germain (PSG) itu menjaringkan gol dramatik pada minit ke-86 dan 89 ketika membantu skuad La Albiceleste mengatasi Jamaica 3-0 pada aksi persahabatan di Red Bull Arena, New Jersey, Amerika Syarikat (AS).
Dua gol itu memastikan Messi mengumpul 90 gol di peringkat antarabangsa, satu gol mengatasi jaringan dicipta Mohktar atau lebih dikenali dengan gelaran Supermokh.
Bukan itu sahaja, Messi turut merampas kedudukan tangga ketiga yang sebelum ini dipegang Mokhtar.
Untuk rekod, Messi adalah penjaring kedua terbanyak dalam senarai pemain yang masih aktif bermain di belakang tempat pertama iaitu ayam tambatan Portugal, Cristiano Ronaldo dengan rekod 117 gol setakat ini.
Selain Ronaldo dan Messi, dua penyerang dari Asia iaitu dan Sunil Chhetri (India) dan Ali Mabkhout (UAE) juga masih aktif bermain di pentas antarabangsa.
Berdasarkan senarai terkini penjaring gol terbanyak peringkat antarabangsa, Cristiano Ronaldo berada di kedudukan pertama dengan 117 gol diikuti penjaring terbanyak sepanjang zaman Iran, Ali Daie (109), Lionel Messi (90) di tempat ketiga dan Mokhtar Dahari di kedudukan keempat.
Chhetri pula mengumpul 84 gol untuk berkongsi tangga kelima dengan legenda Hungary dan Real Madrid, Ferenc Puskas, manakala Ali berada di tangga ketujuh dengan 80 gol.
Apa pun, Messi berpeluang memperbaiki rekod jaringannya di peringkat antarabangsa apabila bakal mewakili Argentina dalam kempen Piala Dunia 2022 di Qatar pada November nanti.
Tahun lalu, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengiktiraf jaringan Mokhtar dalam 131 penampilan bersama skuad Harimau Malaya di peringkat antarabangsa.
Rekod jaringan Supermokh juga mengatasi pencapaian legenda Brazil, Pele yang meledak 77 gol.
Mokhtar, peledak paling digeruni dalam sejarah pasukan kebangsaan, pernah membantu Malaysia muncul juara Pestabola Merdeka sebanyak empat kali, Sukan SEA dua kali serta meraih pingat gangsa Piala Asia 1974.
Pada saingan domestik, pemain kelahiran Ampang itu pernah membantu Selangor merangkul gelaran Piala Malaysia sebanyak 10 kali bermula 1972 hingga 1986, serta kejuaraan liga pada 1984.
Beliau meninggal dunia ketika berumur 37 tahun pada 11 Julai 1991 akibat penyakit distrofi otot di Subang Jaya Medical Centre. -Sinar Harian