Mesej terakhir Datuk Hasbullah Awang kepada Zainal
Astro Arena
Februari 13, 2015 08:56 MYT
Februari 13, 2015 08:56 MYT
"Salam. Aku ok aja. Cuma akan buat angiogram pada Selasa nanti.. Bukan dibedah. Masuk Hospital dulu kerana kaki bengkak rupa-rupanya ada kaitan dengan jantung. Anyway terima kasih atas perihatin semua."
Demikian adalah masej yang disampaikan Allahyarham Datuk Haji Hasbullah Awang lewat malam tadi kepada rakan seperjuangannya, Haji Zainal Abidin Rawop menerusi aplikasi Whatsapp.
Sambil menunjukkan skrin masej berkenaan ketika ditemubual, Zainal menjelaskan beliau begitu terkejut setelah mendapat tentang pemergian Hasbullah Awang pada jam 1.00 tengah hari tadi.
"Saya sungguh terkejut, tidak terkata sehingga menitis air mata selepas mendengar berita ini. Saya menganggap pemergiannya sebagai satu kehilangan besar kepada industri penyiaran sukan," kata Zainal.
Mengimbas kembali pengalaman bekerja bersama pada 1985 sebagai DJ Radio Malaysia dalam sekmen Arena Sukan, Zainal berkata Allahyarham Datuk Haji Hasbullah Awang adalah segala-gala padanya.
"Sejak mula bekerja dengannya pada 1985 hubungan kami benar-benar rapat. Nak cakap betapa rapat saya dengan Allahyarham, saya menganggapnya sebagai ayah, abang, guru serta kawan karib. Pendek kata beliau adalah segala-galanya pada saya" kata Zainal.
Datuk Haji Hasbullah Awang menghembus nafas terakhirnya di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur kira-kira jam 12.20 tengah hari tadi.
Allahyarham yang dilahirkan pada 9 September 1952 di Teluk Intan, Perak bertugas sebagai pengulas sukan bagi rangkaian sukan Astro Arena sejak Januari 2014.
Beliau memulakan kariernya sebagai juruhebah radio di Radio 1 Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebelum berhijrah menjadi pengulas sukan terkemuka tanah air. - Astro Arena