MESA tidak lagi ada kuasa terhadap papan selaju

Ian Johan Ariff
Julai 26, 2018 17:26 MYT
Majlis tandatangan MoU MYSKATE dengan MESA diadakan pada Selasa di Wisma OCM. - Facebook/Idroose Tambarin.
TERDAPAT segelintir penggiat papan selaju yang kelihatan tidak puas hati dengan gabungan Persekutuan Sukan Luncur Berada Malaysia (MYSKATE) dan Persatuan Sukan Ekstrem Malaysia (MESA).
Perkara itu diluahkan dalam akaun media sosial masing-masing selepas melihat gambar majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MESA dan MYSKATE.
Ada yang menganggap usaha majoriti komuniti papan selaju yang menolak pimpinan MESA adalah perjuangan yang sia-sia terutama sekali apabila ia diterima pemimpin MYSKATE yang pernah menolak kerjasama dengan MESA sebelum ini.
Bagaimanapun Presiden MYSKATE, Idroose Tambarin menolak tanggapan mereka dengan menyatakan MoU yang ditandatangani berkaitan gabungan itu menyaksikan MESA bukan lagi badan kawal selia sukan papan selaju dan inline skate di negara ini.
“MYSKATE dan MESA mengambil pendekatan bersama untuk mewujudkan badan kawal-selia tunggal (sole governing body) dengan tujuan pemusatan sukan ini, sekali gus menyelesaikan konflik pengelolaan sukan luncur beroda dan sukan ekstrem.” kata Idroose dalam satu kenyataannya di akaun Facebook miliknya.
MYSKATE tetap menerusi fungsi sebagai badan kawal-selia disiplin sukan seperti inline speed, inline freestyle, inline hockey, roller freestyle aggressive dan papan selaju.
Pada masa sama, Idroose menegaskan ruang dibuka kepada mana-mana pihak untuk menyuarakan pendapat dan pemegang jawatan selaku ahli badan gabungan adalah wakil kepada komuniti sukan masing-masing.
Majoriti komuniti papan selaju Malaysia sebelum ini menolak kepimpinan MESA kerana menganggap badan itu tidak dibarisi pemain papan selaju dan turut memboikot beberapa kejohanan yang dianjurkan persatuan itu.
Ia menyaksikan kurang daripada 60 peserta menyertai kejohanan papan selaju anjuran MESA bagi memilih atlet kebangsaan untuk mewakili negara ke Sukan Asia 2018.
“Ini merupakan fasa baharu. Tidak perlu ambil langkah ke belakang dan maju terus ke hadapan. Persatuan harus bertindak sebagai sebuah persatuan yang berkhidmat untuk ahli-ahlinya dan selaku pentadbir yang harus mempraktikkan ‘good governance'.
"
Jelas Idroose lagi, langkah yang diambil memberi laluan kepada MYSKATE untuk menjadi ahli kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM), yang menjadi keutamaan untuk memastikan kelancaran penghantaran atlet ke Olimpik oleh MYSKATE.
Atas sebab itu juga, struktur organisasi MYSKATE melalui sedikit perubahan dengan mengambil kira peranan Tan Sri Darshan Singh (Presiden MESA) sebagai tokoh berpengaruh dalam dunia sukan di Malaysia dengan menawarkan jawatan Presiden Kehormat Seumur Hidup (bukan eksekutif) kepada beliau.
Anak Darshan, Datuk Manjit yang merupakan pengasas MESA, menduduki jawatan Setiausaha Agung yang akan memberi tumpuan kepada urusan pentadbiran.
Pengerusi bagi Jawatankuasa Teknikal Papan Selaju Kebangsaan MYSKATE, Adlan Farazi turut memberi penjelasan mengenai MoU yang ditandatangani pada Selasa itu di laman Facebook miliknya.
Bagi Adlan, mereka telah lalui pelbagai rintangan untuk menyelesaikan konflik MESA dengan komuniti papan selaju dan siapa yang patut menjadi badan induk sukan papan selaju, termasuk mengadakan perjumpaan dengan Presiden Persekutuan Papan Selaju Antarabangsa (ISF) Gary Ream di Bangkok.
Malah Adlan menegaskan MESA yang sertai MYSKATE, bukan sebaliknya, dengan syarat-syarat tertentu.
Baginya ini merupakan satu permulaan baharu bagi pembangunan sukan papan selaju di negara ini.
Pasa Selasa, satu MoU ditandatangani antara Darshan dan Idroose di Wisma MOM.
Ia turut disaksikan Timbalan Presiden MOM, Datuk Seri Azim Zabidi, Pesuruhjaya Sukan Malaysia, Datuk Zaiton Othman dan Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib.
#Adlan Faraz #gabungan #Idroose Tambarin #kerjasama #Majlis Olimpik Malaysia #MESA #MOM #MoU #MYSKATE #Olimpik #Papan Selaju #Tan Sri Darshan Singh
;