MESA janji perubahan dalam masa terdekat
Ian Johan Ariff
Januari 6, 2018 16:16 MYT
Januari 6, 2018 16:16 MYT
Selepas menerima kecaman termasuk diboikot oleh beberapa pemain papan selaju tempatan, Persatuan Sukan Ekstrem Malaysia (MESA) menjanjikan angin perubahan dalam persatuan itu.
Itu yang disuarakan Setiausaha Agung MESA, Manjit Singh Gill dalam satu perjumpaan dengan wakil Organisasi Papan Selaju Johor (OPSJ) baru-baru ini.
Perjumpaan tersebut dirakam secara live di Facebook OPSJ namun dipadam beberapa jam selepas itu bagi menghormati privasi perbincangan yang dibuat.
Dalam perbincangan itu, Manjit seakan menyifatkan pihak yang mengecam dan mengkritik MESA berbuat demikian atas kepentingan diri sendiri.
Pada masa sama, MESA mengakui kelemahannya dan ahli gabungannya yang tidak mengerakkan aktiviti-aktiviti sukan papan selaju terutama sekali di Selangor setelah sekian lama.
MESA mempertahankan pertubuhan itu hanya bertindak sebagai badan pemantau peringkat kebangsaan dan bukan penganjur kejohanan di peringkat negeri.
Hadiah kemenangan yang kecil pada kejohanan pemilihan peringkat kebangsaan anjuran MESA juga dibuat dengan sukarela oleh pertubuhan itu.
Jelas MESA, kebiasaannya, kejohanan pemilihan atlet kebangsaan tidak menjanjikan sebarang hadiah wang tunai sebaliknya status sebagai wakil negara.
MESA juga menafikan bekas atlet kebangsaan, Johary Fitry Khairuddin tidak menyokong persatuan itu seperti yang ditulis dalam artikel pandangan peribadi penulis Astro AWANI sebelum ini.
Manjit juga percaya bukan semua pemain papan selaju yang menyertai acara yang dikenali sebagai #KLSkateriot itu turun kerana boikot MESA.
Beliau percaya ada yang hanya turun untuk mengambil kesempatan bermain di sekitar Kuala Lumpur secara beramai-ramai.
Manjit juga menjelaskan pemilihan bapanya, Tan Sri Darshan Singh sebagai salah seorang ahli dalam pertubuhan World Skate atas dasar pengalamannya sebagai seorang yang berpengalaman dalam pertubuhan sukan antarabangsa termasuk Olimpik.
Video berdurasi 48 minit itu menyaksikan pelbagai persoalan yang dibangkitkan pihak berkepentingan dalam sukan papan selaju di media sosial.
Sabtu lepas, beberapa pemain papan selaju tempatan membuat keputusan untuk tidak menyertai kejohanan pemilihan kontinjen negara anjuran MESA kerana berpendapat badan itu tidak menyumbang apa-apa terhadap sukan itu.
Pihak tersebut juga mempersoalkan pemilihan Darshan dalam World Skate kerana dia bukan seorang pemain papan selaju.
Astro AWANI ada menghantar email kepada Manjit tentang persoalan yang dibangkitkan namun sehingga kini tiada jawapan balas.