MES 2021 perkukuh usaha Malaysia jadi hab e-sukan Asia Tenggara

Madiha Abdullah
Mac 23, 2021 22:06 MYT
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican merasmikan pelancaran MES 2021, hari ini. - Bernama
KUALA LUMPUR: Kejohanan Esports Series (MES) 2021 yang akan berlangsung pada April depan merupakan salah satu aspirasi negara dalam usaha menjadi hab esports atau e-sukan di rantau Asia Tenggara.
Dengan lebih 14 juta pemain, Malaysia berada di landasan yang terbaik dalam menerajui pembangunan esports di rantau ini.
"Esports mula menjadi bualan ramai selepas dipertandingkan di Sukan SEA Filipina dua tahun lalu. MES menjadi platform untuk pemain menunjukkan bakat dan kebolehan mereka bersaing di peringkat tertinggi.
"Bukan itu sahaja, esports kini menjadi pilihan kerjaya bagi golongan anak muda dan dengan penganjuran kejohanan ini, ia akan membantu industri ini berkembang sekali gus merangsang ekonomi negara dengan menarik pelabur serta syarikat antarabangsa mendirikan pejabat di sini," kata Pengerusi MES, Muhammad Aimanulhaq Zaharudin.
Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, pada Selasa.
Dibawakan oleh My E.G Services Berhad, kejohanan ini akan mempertandingkan tiga jenis permainan iaitu Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), IFA2021 dan PUBG.
Sesi kelayakan akan bermula dari 26 Mac hingga 4 April, dan pertandingan akhir akan berlangsung dari 9 hingga 11 April.
Ia menyasarkan 2,000 pemain dan 300,000 penonton dari seluruh Asia Tenggara dengan menawarkan hadiah berjumlah RM100,000 yang bakal menjadi rebutan.
#Kejohanan Esports Series #Reezal Merican #Sukan SEA #sukan #esport #MES 2021 #Malaysia #e-sukan
;