Merzagua Pengarah Teknikal baharu Penang FC

Bernama
Januari 17, 2024 13:25 MYT
Merzagua mengakui tugas yang dipertanggungjawabkan kepadanya kali ini lebih mencabar namun ia bukan sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan. - Foto Penang FC
GEORGE TOWN: Penang FC melantik legenda bola sepak Pulau Pinang Merzagua Abderrazak sebagai Pengarah Teknikal baharu bagi memantapkan persiapan pasukan menjelang saingan Liga Malaysia musim ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang Daniel Gooi berkata pelantikan Merzagua yang berkuat kuasa 1 Jan lepas, bertujuan mengembalikan harapan susulan prestasi suram Harimau Kumbang menamatkan saingan Liga Super di tempat ke-10.
"Penang FC kini dalam tempoh peralihan dengan menitikberatkan perkara dari segi teknikal. Pelantikan Merzagua amat tepat dalam usaha kita untuk memperkukuhkan pasukan pada musim depan.
"Tambahan pula, Merzagua bukanlah asing dalam kalangan peminat Penang FC dan kita berharap dengan kemunculan semula sebagai pengarah teknikal baharu dapat mengembalikan semangat dan kegemilangan Penang FC sepertimana yang pernah diraih suatu ketika dahulu," katanya pada sidang media selepas sesi Townhall Bersama Penyokong Penang FC di Pusat Harmoni, di sini malam tadi.
Berasal dari Maghribi, bekas pemain berusia 57 tahun dikenali dengan julukan 'Great Merz' oleh penyokong setia Harimau Kumbang, Merzagua pernah mencipta nama sebagai hero ketika Pulau Pinang mendakap kejuaraan Liga Perdana Satu pada 1998, selain dinobatkan pemain import terbaik untuk tiga tahun berturut-turut.
Selepas hampir 12 tahun meninggalkan Harimau Kumbang, Merzagua kembali sebagai jurulatih pada musim 2012 sehingga muncul juara Piala FAM seterusnya layak beraksi di Liga Perdana pada 2014.
Namun disebabkan masalah lesen kejurulatihan, beliau terpaksa kembali ke negara asal untuk mendapatkan lesen 'Sijil A'.
Sementara itu, Merzagua mengakui tugas yang dipertanggungjawabkan kepadanya kali ini lebih mencabar namun ia bukan sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan.
"Sudah tentu cabaran kali ini lebih berat tetapi apa yang penting saya lihat adalah kita (pasukan) perlukan identiti tersendiri... corak permainan, semangat melawan itu harus menjadi sesuatu perkara istimewa yang perlu ditanam dalam pasukan jadi, sebab itulah saya berada di sini.
"Saya akan cuba melakukan yang terbaik dan saya tidak keseorangan kerana kita ada bersama pihak pengurusan, pasukan dan lain-lain dan saya percaya kita mampu melakukannya," katanya.
Pada sidang media sama, Penang FC turut mengumumkan pelantikan Akmal Rizal Ahmad Rakhli sebagai ketua jurulatih baharu, manakala Manzoor Azwira Abdul Wahid diberikan tugas mengendalikan skuad simpanan.
Akmal Rizal ketika ditemui berkata: "Kita akan usahakan sebaik mungkin untuk merealisasikan matlamat menjadikan Penang FC sebagai satu pasukan yang boleh beraksi dengan baik dalam setiap perlawan sekali gus berada di kedudukan lebih baik berbanding sebelumnya".
-- BERNAMA
#Merzagua Abderrazak #pengarah teknikal #Penang FC #Daniel Gooi #Liga Malaysia
;