Merzagua kesal penyokong buli pemain muda Penang FC

Bernama
Ogos 19, 2024 13:15 MYT
Merzagua berkata trend itu dilihat membimbangkan dan dikhuatiri akan melemahkan moral serta keyakinan pemain sekiranya perbuatan negatif seperti itu terus berlaku. - Gambar/ Penang FC
GEORGE TOWN: Pengarah Teknikal Penang FC Merzagua Abderrazak kesal dengan tindakan segelintir penyokong pasukan itu yang berterusan mengeluarkan kata-kata kasar serta membuli pemain PFC III (B20) dan PFC IV (B18).
Merzagua berkata trend itu dilihat membimbangkan dan dikhuatiri akan melemahkan moral serta keyakinan pemain sekiranya perbuatan negatif seperti itu terus berlaku.
"Pemain-pemain muda ini telah dipilih berdasarkan potensi mereka. Walaupun mempunyai pengalaman yang terhad dan datang daripada latar belakang kurang berkemampuan, namun mereka sedang berusaha keras untuk meningkatkan kemahiran bola sepak masing-masing.
"Dalam hal ini, peranan kami adalah untuk menyokong dan membangunkan pemain-pemain muda, membantu mereka berkembang baik di dalam mahupun di luar padang. Kami komited untuk memupuk bakat mereka dan menyediakan kelengkapan yang diperlukan untuk berjaya," katanya menerusi perutusan buat penyokong Penang FC di laman Facebook Penang Football Club hari ini.
Beliau berkata tingkah laku negatif dan menyakitkan hati segelintir penyokong bukan sahaja mengecewakan, tetapi juga tidak produktif.
Bekas pemain Penang FC itu menegaskan selaku penyokong, mereka seharusnya memberikan maklum balas yang membina dan bukannya kritikan melampau.
Beliau berkata dorongan positif daripada penyokong penting untuk membantu pemain berkembang dan berjaya, manakala kata-kata negatif dan membuli hanya mencipta suasana toksik yang memberi kesan kepada prestasi serta kesejahteraan mereka.
"Kami menggesa semua pihak untuk memikirkan kesan daripada kata-kata dan tindakan mereka. Marilah kita bersatu untuk mewujudkan suasana sokongan positif bagi pemain muda ini, memastikan mereka dapat berkembang dan mencapai potensi penuh mereka.
"Dengan kerjasama semua, kita boleh membantu mereka membina minat yang berkekalan terhadap sukan bola sepak ini," katanya.
Skuad bawah 20 dan 18 tahun Harimau Kumbang itu dilihat sering menjadi sasaran penyokong terutama dalam media sosial berikutan prestasi turun naik yang ditunjukkan barisan pemain pelapis, dengan terbaharu menyaksikan Penang FC IV tewas 2-3 ketika menentang MSC Touchtronics FC pada perlawanan akhir Piala Belia musim ini di Stadium Bandaraya, Sabtu lepas.
-- BERNAMA
#Penang FC #kes buli #buli pemain #penyokong buli