Mereka jangka kami kalah lagi, kata Klopp selepas tewaskan Leipzig

Astro Arena
Februari 17, 2021 09:45 MYT
Jurgen Klopp memeluk Mohamed Salah yang ditukar semasa perlawanan pusingan 16 UCL antara RB Leipzig dan Liverpool di Stadium Ferenc Puskas, Budapest, Hungary, 16 Feb, 2021. (Foto AP)
JURGEN Klopp gembira dengan prestasi Liverpool ketika menewaskan RB Leipzig sambil berkata "mereka menjangkakan kami akan kalah lagi".
The Reds membawa bekalan dalam perlawanan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi tadi apabila meraih kemenangan 2-0 dalam perlawanan yang dipindahkan ke Budapest itu.
Gol daripada Mohamed Salah dan Sadio Mane dalam babak kedua -- kedua-duanya berpunca daripada kesilapan pertahanan Leipzig -- memberikan Liverpool kemenangan untuk menjadikan mereka sebagai pasukan pilihan layak ke suku akhir.
Keputusan itu menjadi petanda bahawa mereka sudah keluar daripada prestasi buruk sebelum ini, di mana Liverpool hanya memenangi tiga daripada 12 perlawanan terakhir dalam kesemua kejohanan.
Pengurus, Klopp, berasakan sudah sampai masanya untuk memberikan respons kepada sesiapa yang menjangkakan pemainnya akan bergelut dalam menentang pasukan di tangga kedua Bundesliga itu.
"Ia perlawanan yang kami mahukan, ia perlawanan yang kami perlukan," katanya kepada BT Sport.
"Leipzig boleh menjadi raksasa sebenar, mereka mengatasi banyak pasukan, mereka bermain dengan fizikal dan malam ini, kami mengawal mereka dengan cara yang luar biasa.
"Saya fikir kami mendapatkan keputusan yang selayaknya. Kami bertahan dengan baik dalam setiap situasi.
"Malam ini, kami layak menang. Ramai orang menantikan kami tewas sekali lagi dan kami tidak. Kami amat bagus selama dua tahun dan tahun ini, kami berdepan sedikit msalah.
"Ramai yang menjangkakan kami akan tewas lagi hanya kerana situasi itu dan pemain kami tidak tewas. Kerana itulah saya benar-benar gembira," katanya.

18 - Since Jürgen Klopp took charge of his first UEFA Champions League match at Liverpool in September 2017, the Reds have registered more clean sheets in the competition than any other side (18). Resilient. pic.twitter.com/5aPpUpEvtv

— OptaJoe (@OptaJoe) February 16, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Kapten pasukan itu, Jordan Henderson, yang sekali lagi diletakkan sebagai pertahanan tengah, mahu Liverpool mengekalkan standard mereka seperti yang dipamerkan di Arena Puskas.
"Ia perlawanan yang penting buat kami, perlawanan yang sukar tetapi kami benar-benar gembira dengan prestasi keseluruhan kami.
"Untuk tidak dibolosi juga sesuatu yang penting buat kami. Sejak dari awal sehingga akhir, secara bertahan, berdepan pasukan yang kami memberikan tekanan dengan baik dan memenangi semula bola.
"Ia kemenangan yang baik tetapi tugas ini baru separuh jalan. Kami perlu gembira dengannya kerana Leipzig pasukan yang bagus.
"Kami hanya mahu meneruskannya, terus berjuang setiap kali beraksi.
"Malam ini merupakan satu langkah yang baik untuk ke laluan yang tepat buat kami. Kami perlu meneruskan dengan tahap prestasi seperti ini dan jika berjaya, kami akan mendapatkan beberapa keputusan yang baik selepas ini," katanya.
#jurgen klopp #Liverpool #RB Leipzig #pusingan 16 #Liga Juara-Juara Eropah #UCL #Mohamed Salah #Sadio Mane #kesilapan pertahanan #Jordan Henderson #suku akhir
;