Mercedes C-Class tidak perlu dipanggil balik

Astro Publication
Oktober 21, 2014 04:46 MYT
Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah bertindak pantas untuk membuat kenyataan bahawa semua model C-Class baharu yang sudah dijual – dan yang dilancarkan di negara ini pada September 2014 – tidak perlu dihantar semula kepada MBM untuk penilaian. Ini kerana semua kereta yang sudah dijual telahpun diperiksa sebelum diterima oleh pelanggan.
Mengikut Roland Folger, presiden dan CEO MBM berkata bahawa pemilik yang telah membeli C-Class terbaru ini daripada saluran yang diiktiraf MBM tidak menerima kesan daripada tindakan panggil balik (recall) yang diumumkan di Eropah.
“Panggil balik ini dilakukan pada September, sebelum ia dilancarkan di Malaysia. Dengan itu, kami menyedari keadaan ini dan langkah-langkah yang sewajarnya telah diambil,” tambah beliau.
Situasi ini berlaku apabila Mercedes menyedari isu yang mungkin timbul pada komponen stereng C-Class baru ini. Ada masalah pada sebuah kunci ‘coupling’ yang mungkin tidak dipasang dengan betul. Selalunya, kesannya disedari melalui getaran pada stereng; tetapi pada situasi ekstrem pemandu mungkin akan terus hilang kawalan.
Seiring itu, Mercedes turut mengesahkan bahawa isu ini telah diselesaikan dengan lengkap pada kereta-kereta yang yang dijual selepas 22 September.
# c-class # recall #Mercedes