Mercedes AMG mampu rapatkan jurang guna jentera baharu W16 - Russell
Bernama
Februari 28, 2025 06:45 MYT
Februari 28, 2025 06:45 MYT
George Russell ketika ditemui media di Litar Antarabangsa Bahrain, Sakhir, Bahrain, 26 Feb 2025. - REUTERS
KUALA LUMPUR: Pemandu Mercedes AMG Petronas Formula One (F1) George Russell optimis jentera terbaharu pasukan itu, W16 akan membantu mereka merapatkan jurang dengan pencabar, sekali gus menamatkan perlumbaan di kedudukan lebih baik pada musim 2025.
Pemandu Britain berusia 27 tahun itu berkata pasukan berkenaan menyasarkan untuk kembali menjadi pasukan kedua terpantas, selepas menduduki tempat keempat pada 2024.
"Harapan utama adalah untuk berada dalam perebutan kejuaraan dunia. Itu adalah matlamat yang kami semua usahakan secara realistik. Jika kita boleh kembali ke kedudukan kedua, saya fikir itu adalah sasaran yang adil dan realistik buat kami.
"Setakat ini jentera (W16) menunjukkan prestasi yang baik. Kami melalui hari-hari yang sangat positif. Kami sedar, kami mempunyai tugas penting untuk merapatkan jurang dengan juara bertahan McLaren-Mercedes, yang konsisten sepanjang musim lepas," katanya pada sesi meja bulat maya bersama media semalam.
Beliau turut berkongsi keterujaan dan debaran menjelang ujian pertama W16, yang telah melalui kerja-kerja pembangunan yang besar di pusat kemudahan Mercedes di Brackley dan Brixworth, dengan kerjasama rakan teknikal utama daripada Petronas.
"Sudah pasti (W15 dan W16 berbeza) walaupun peraturannya tetap sama, semua permukaan aerodinamik seperti lantai, sayap dan sistem suspensi telah diubah. Pasukan telah melanggar sempadan untuk memaksimumkan kereta ini," katanya.
Russell, yang memasuki musim keempat bersama Mercedes dan ketujuh dalam F1 berkata keyakinannya semakin meningkat terutamanya selepas prestasi musim lepas.
"Kini, saya benar-benar berasakan Mercedes adalah rumah dan keluarga saya. Sama ada bersama Lewis (Hamilton) tahun lepas atau kini dengan Kimi (Antonelli) dan pasukan, pendekatan saya tetap sama iaitu memandu sepantas mungkin, bekerjasama dengan semua orang, dan membantu kejayaan pasukan," katanya.
Ujian pramusim 2025 akan berlangsung di Litar Antarabangsa Bahrain hujung minggu ini.
-- BERNAMA