Menteri serah pada Pesuruhjaya Sukan selesai kemelut PAFA

Abd Razak Mohd Ali
Januari 10, 2022 16:35 MYT
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu beri ruang kepada Pesuruhjaya Sukan untuk selesai kemelut yang melanda Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA). - Gambar fail BERNAMA
IPOH: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, terserah kepada Pesuruhjaya Sukan (PJS) untuk mengendalikan kemelut yang melanda Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA).
Menurutnya, sebagai menteri, beliau memberi ruang kepada Pesuruhjaya Sukan untuk membuat sebarang tindakan mengenai isu berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, tindakan itu mestilah mengikut peraturan dan undang-undang sedia ada.
“Bukan hanya kebijaksanaan, pengurusan PJS juga mesti mengikut dan berlandaskan kepada peraturan yang ada,” katanya ketika ditemui selepas majlis pecah tanah projek naik taraf sebahagian Jalan Tambun di Dewan Badminton X - Treme Park, Bandar Sunway, Tambun di sini, hari ini.
Pada Ahad, Presiden PAFA, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin berkata, PJS perlu memberi maklum balas segera berhubung notis aduan rasmi yang dihantar ahli-ahli gabungan PAFA pada 9 Disember lepas bagi menyelesaikan kemelut melanda badan induk bola sepak negeri ini.
Menurut Azhar, ini kerana, ia dapat meleraikan segala kekusutan yang wujud sekali gus memberikan pengesahan mengenai pihak yang mempunyai hak untuk menerajui PAFA.
Pada 24 Disember lepas, Pesuruhjaya Sukan, Ibrahim Mohd Yusof dalam satu laporan media memaklumkan pihaknya tidak membuat sebarang kenyataan dalam menentu atau mengiktiraf mana-mana pihak dalam menerajui PAFA.
Malah, PJS dalam kenyataan itu memaklumkan mereka masih belum menerima sebarang laporan mengenai Kongres Luar Biasa (EGM) 14 ahli gabungan PAFA pada 19 Disember lepas.
Mohd Azhar berkata, pihaknya juga menghantar permohonan Perintah Larangan terhadap PAFA kepada PJS pada 27 Disember lalu bagi memastikan tiada mana-mana pihak diberi kebenaran membuat sebarang keputusan atau tindakan berkenaan PAFA sehinggalah proses siasatan selesai dan keputusan PJS mengenai pihak yang sah untuk menerajui PAFA diterima.
#Persatuan Bola Sepak Perak #PAFA #Kementerian Belia dan Sukan #Ahmad Faizal Azumu
;