Menteri jamin kualiti rumput venue final Piala Malaysia

Astro Arena
November 28, 2023 09:30 MYT
Sekeping gambar tular baru-baru ini menunjukkan keadaan rumput Stadium Nasional Bukit Jalil yang dikatakan rosak selepas penganjuran konsert Coldplay. - Gambar fail/Instagram HRH Prince Crown of Johor
MENTERI Belia dan Sukan Hannah Yeoh memberi jaminan, finalis Piala Malaysia 2023 - Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu FC - bakal beraksi di atas padang rumput berkualiti, 8 Dis depan.
Berbaki 12 hari, Hannah tidak bimbang walaupun sekeping gambar yang viral baru-baru ini yang kononnya mencerminkan keadaan rumput yang rosak selepas penganjuran konsert Coldplay Rabu lalu.
"Proses akan melibatkan kontraktor, dari awal hingga akhir proses. Mereka ada rawatannya yang disediakan untuk PSM.
"Jangan risau, untuk perlawanan akhir Piala Malaysia nanti, ia akan sempurna," katanya kepada Nadi Arena semalam.
Hannah turut menegaskan tiada istilah peruntukan baru untuk Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) negara bagi mengatasi keadaan semasa padang di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Tegas Hannah, setiap rumput yang rosak bakal ditukar segera dan proses ini giat dijalankan pada ketika ini.
"Proses penukaran rumput ini termasuk dalam bajet dan rumput Zeon Zoysia ini ditanam di tapak semaian yang berdekatan dengan Bukit Jalil.
"Sebarang penukaran rumput akan diambil dari tapak semaian seperti ketika perlawanan lawan India dan (Republik) Krygyzstan.
"Begitu juga dengan (kaedah) penganjuran konsert," katanya.
#Hannah Yeoh #Stadium Nasional Bukit Jalil #rumput #Piala Malaysia
;