Menteri ingatkan peminat sukan patuhi SOP COVID-19
Bernama
September 8, 2020 05:26 MYT
September 8, 2020 05:26 MYT
Peminat sukan di negara ini diingatkan agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa bagi mengekang penularan COVID-19, termasuk larangan menghadiri acara-acara sukan.
Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata pematuhan SOP itu terpakai bagi semua acara sukan sama ada liga profesional, perlawanan persahabatan atau untuk bersosial.
Pada masa sama, beliau mengingatkan semua pihak yang ingin menganjurkan acara sukan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) agar mendapatkan kebenaran daripada Pejabat Pesuruhjaya Sukan.
"Penganjur juga boleh merujuk kepada Kementerian Belia dan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan negeri serta persatuan-persatuan sukan berkaitan untuk nasihat dan garis panduan berhubung SOP serta kesesuaian penganjuran acara sukan berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
PKPP yang bermula 10 Jun hingga 31 Ogos lepas dilanjutkan hingga 31 Dis tahun ini bagi mengawal jangkitan COVID-19 di negara ini.
Terdahulu hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata kes baharu COVID-19 di negara ini melonjak ke tiga angka hari ini dengan 100 kes berbanding 62 jangkitan semalam.
-- BERNAMA
#COVID-19
#Menteri Belia dan Sukan
#peminat sukan
#Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan
#PKPP
#prosedur operasi standard
#Reezal Merican Naina Merican
#SOP