Menteri beri bayangan Malaysia akan tetap sertai Sukan Olimpik Tokyo

Ridauddin Daud
Februari 10, 2021 10:19 MYT
Penganjuran Sukan Olimpik Tokyo masih lagi dalam fasa ketidaktentuan selepas COVID-19 menyerang dunia sejak tahun lepas. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican memberi bayangan Malaysia tidak akan menarik diri daripada Sukan Olimpik Tokyo yang akan bermula tidak lama lagi.
Menurutnya, kemungkinan Sukan Olimpik diadakan tanpa penonton juga sememangnya wujud memandangkan situasi COVID-19 masih belum reda.
“Sukan Olimpik Tokyo akan bermula kurang lebih 163 hari daripada tarikh hari ini. Apakah ia akan diteruskan?
“Apakah kita mampu mendapat emas pertama untuk Malaysia dalam segala ketidaktentuan ini?
"Jawatankuasa Penganjur di peringkat menyediakan 'playbook' (buku panduan) mengenai penganjuran yang antara lain menyentuh soal prosedur operasi standard (SOP) yang sangat ketat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Amanat Menteri Belia dan Sukan 2021 yang disiarkan secara maya dalam Facebook kementerian itu pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau berkata Visi Sukan Negara 2030 akan menjadi ‘blueprint’ kementerian yang terbaru.
“Saya telah sebutkan bahawa VSN2030 mesti mendapat input daripada pelbagai pihak. Saya secara peribadi meletakkan sasaran suku pertama 2021 sebagai tarikh kita melancarkan VSN2030.
“Kita cukup berbangga dengan pencapaian Datuk Nicol Ann David yang berjaya dinobatkan sebagai Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia.
BACA: Nicol dinobat Atlet Terunggul Sepanjang Zaman
“Namun, selain daripada itu, pencapaian bidang sukan secara keseluruhannya, masih boleh dipertingkatkan,” ujarnya.
#Olimpik #belia dan sukan #Reezal Naina Merican #Tokyo #SOP #COVID-19 #Reezal Merican #pingat emas #Menteri Belia dan Sukan #KBS