'Mentaliti Man Utd 'sempit', gaji saya ditolak hanya kerana sebotol jus' - Ibrahimovic
Agensi
Disember 5, 2021 13:48 MYT
Disember 5, 2021 13:48 MYT
ITU antara pendedahan bintang bola sepak Zlatan Ibrahimovic.
Hanya kerana sebotol jus buah yang diambil dari peti sejuk di sebuah hotel sebelum satu perlawanan di Manchester, Ibrahimovic mendakwa gajinya ditolak oleh kelab Manchester United.
Akhirnya, penyerang Sweden dan AC Milan itu membuka mulut berkongsi pengalaman beliau ketika bersama-sama pasukan Manchester United dalam autobiografinya berjudul "Adrenaline".
Sepanjang kariernya selama dua tahun bersama United dari tahun 2016, Ibrahimovic menyifatkan pengalaman itu membuka matanya dan kelab itu dakwanya 'hanya indah khabar dari rupa'.
Memetik kandungan autobiografi berkenaan, bintang bola sepak itu menyertai United selepas berjaya menggunguli empat musim bersama Paris Saint-Germain (PSG) dan ketika bersama The Reds beliau bukan sahaja berjaya meraih trofi malah dapat mencedok pengalaman baharu.
Bintang kelahiran Sweden itu pernah dipetik sebagai berkata kepada rakan sepasukannya, bahawa beliau akan terus bersama-sama dengan PSG isekiranya ikon Eifel Tower di bandar Paris, digantikan dengan tugunya sebagai lambang perjuangan dan pengorbannya melonjakkan nama kelab bola sepak itu, memetik laporan portal Sputnik News.
Namun, selepas Ibrahimovic, 40, membuat keputusan untuk menyertai pasukan bola sepak terbesar dunia itu, persepsinya terhadap kelab itu ternyata meleset, dakwanya.
"Saya sangat terkejut kerana rata-rata ramai beranggapan United adalah kelab terkemuka, terkaya dan termasyhur, namun apabila saya berada bersamanya, saya mendapati corak mentaliti mereka sempit dan tertutup."
Beliau turut mengkritik layanan kelab itu terhadap bintang bola sepak, Wayne Rooney.
Menurutnya, pada hari Rooney berhijrah dari United ke Everton, kelab bola sepak itu seolah-olah tidak mempedulikan pemergian bintang itu dengan menanggalkan namanya dari lokarnya di bilik persalinan. Rooney merupakan seorang lagenda buat United dan penyaring tertinggi kelab itu. Tindakan United 'menghilangkan' Rooney, pada Ibrahimovic, tidak munasabah.
Episod 'pahit' Ibrahimovic bersama United di Manchester, United Kingdom, turut mengejutkan beliau.
"Saya bersama dengan rakan kelab berada di sebuah hotel di sana (Manchester). Sebelum perlawanan saya mengambil sebotol jus buah dari peti sejuk akibat kehausan.
"Tidak lama kemudian, saya menerima salinan gaji saya. Kebiasannya saya tidak memeriksa lampiran (gaji) itu, namun apabila saya menyemak, saya mendapati kelab bola itu telah menolak gaji bulanan saya untuk jus buah yang saya minum ... sebelum perlawanan di Manchester!," dakwa Ibrahimovic.
Beliau mengambil keputusan untuk menelefon pengurus pasukan dan mengakui merasa terkejut setelah diberitahu bahawa gajinya telah dipotong sebagai bayaran ujtuk jus buah yang diminumnya.
"Anda pasti bergurau, bukan? Saya bukan sedang bercuti, saya bekerja (untuk kelab ini). Saya haus dan perlu minum ..." kata Ibrahimovic.
Pengalaman itu, kata Ibrahimovic tidak wajar berlaku. Apatah lagi ianya membezakan pasukan itu dengan yang lain dan tindakan itu seolah-olah menunjukkan tiada rasa hormat pengendali kelab itu terhadap pemain-pemainnya.
Ibrahimovic juga mendedahkan, pengalaman beliau berkhidmat untuk kelab berkenaan, memberi persepsi yang cukup berbeza terhadap kelab itu.
Beliau turut mendakwa, United cukup lokek rasa hormat terhadap pemain-pemain lagenda.
Secara peribadi, Ibrahimovic berkata, United hanya cenderung dan fokus berfungsi sebagai sebuah perusahaan komersial dan bukan sebagai sebuah kelab bola sepak yang mempunyai aspirasi dan matlamat yang besar.