Mental pemain Arsenal tidak mudah 'koyak', kata Mikel Arteta

Astro Arena
Ogos 27, 2023 09:45 MYT
Mikel Arteta menegaskan, tidak akan menjadi isu psikologi buat Arsenal biarpun mereka dibolosi pada minit pertama perlawanan di tempat sendiri buat kali ketiga pada tahun ini ketika berentap dengan Fulham, tengah malam tadi.
ARSENAL 2 FULHAM 2
MIKEL Arteta menegaskan ia tidak akan menjadi isu psikologi buat Arsenal biarpun mereka dibolosi pada minit pertama perlawanan di tempat sendiri buat kali ketiga pada tahun ini ketika berentap dengan Fulham, tengah malam tadi.
Kesilapan Bukayo Saka membolehkan Andreas Pereira merakamkan gol pembukaan untuk pelawat selepas hanya 57 saat pertemuan di Emirates untuk mengulangi permulaan buruk yang sama ketika menentang Southampton dan Bournemouth musim lalu.
Tuan rumah hampir melengkapkan kebangkitan apabila pemain gantian, Eddie Nketiah, memasukkan hantaran lintang Fabio Vieira ketika berbaki 18 minit permainan.
Sebelum itu, Saka menebus kesilapan awalnya dengan menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti, sementara pertahanan pelawat, Kenny Tete, dihukum akibat menjatuhkan Vieira yang menyusup ke dalam kotak penalti ketika menyambut hantaran lolos Gabriel Martinelli.
Dan sebaik Calvin Bassey dilayangkan kad kuning kedua kerana menjatuhkan Nketiah, harapan Fulham seolah-olah lenyap sebelum Joao Palhinha menyambut sepakan sudut Harrison Reed untuk merobek gawang yang dikawal Aaron Ramsdale pada minit ke-87.
Arteta kesal anak buahnya telah menghadiahkan Fulham satu mata dengan dua gol buruk, namun tetap mahu memuji usaha pemainnya memulihkan ketenangan selepas satu lagi permulaan buruk.
“Apabila anda melakukan kesilapan pada minit pertama sebagaimana yang kami lakukan dan anda menghadiahkan gol kepada pihak lawan, permainan boleh menjadi lebih sukar,” katanya.
“Reaksi anak buah saya selepas itu termasuk dalam separuh masa pertama berdasarkan jumlah situasi dan peluang yang kami hasilkan, kami langsung tidak memberikan sebarang ruang buat pelawat.
"Kami mengawal sepenuhnya permainan tetapi tumpul untuk menghasilkan gol.
“Kami melakukan beberapa perubahan dalam separuh masa kedua. Dinamik berubah, kami mempunyai gandingan yang lebih baik. Saya rasa Nketiah dan Vieira mengubah perlawanan dan impak yang besar. Saya suka dengan keazaman dan keyakinan yang mereka bawa kepada pasukan.
“Kami mendahului 2-1 dan perlu mempertahankan kelebihan dengan nyawa sendiri. Kami tidak boleh melepaskan gol selepas semua yang kami lakukan kerana kami sepatutnya menjaringkan lima, enam, tujuh gol.
“Kami melakukan kesilapan besar di sini pada tahun lalu dengan memberikan gol kepada Aleksandar Mitrovic. Inilah sebahagian daripada bola sepak.
“Saya tidak melihatnya6 membelenggu fikiran pemain. Dalam mana-mana sukan lain sekalipun, anda boleh menang dengan jurang seratus mata tetapi ini adalah bola sepak.
“Kami mencatat keputusan seri, kami melepaskan dua gol yang sangat buruk. Dalam Liga Perdana Inggeris, apabila anda memberi ruang kepada lawan maka anda akan dihukum dan begitu juga dengan kami pada hari ini.
“Jika saya membandingkan perlawanan yang kami hadapi ketika menentang Fulham musim ini dan musim lalu, hari ini kami sekurang-kurangnya 10 kali lebih baik berbanding musim lalu. Kami jauh lebih baik daripada musim lalu. Musim lalu kami menang 2-1 pada minit terakhir tetapi hari ini kami seri 2-2.” - Stadium Astro
#Mikel Arteta #Arsenal #Fulham #Bukayo Saka
;