Mengapa kecoh dengan banyak acara Sukan Olimpik di Sukan SEA Vietnam?
Bernama
Julai 21, 2020 10:21 MYT
Julai 21, 2020 10:21 MYT
Beberapa minggu lepas, persatuan sukan tempatan dan media tertentu mengkritik tuan rumah Sukan SEA 2021, Vietnam kerana menyenaraikan lebih banyak acara yang dipertandingkan di Sukan Olimpik serta mengurangkan acara lain dan boleh menyebabkan Malaysia kehilangan lebih banyak pingat sasaran.
Bahkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) juga bersuara dan menyatakan kontinjen negara boleh kehilangan 18 pingat emas di Sukan SEA Vietnam berbanding dengan Sukan SEA Manila tahun lepas.
Jika itu tidak cukup teruk lagi, ia mendedahkan angka itu boleh melonjak ke 40 emas jika dibandingkan dengan Sukan SEA 2017 (KL 2017) di sini.
Pada temasya Sukan SEA Manila 2019, Malaysia menduduki tempat kelima dengan 55 emas atau sekitar 10 peratus daripada keseluruhan 530 emas yang dipertandingkan, sementara pada edisi KL 2017, kontinjen negara muncul juara keseluruhan dengan meraih 145 pingat emas atau hampir 36 peratus daripada 406 pingat emas yang ditawarkan.
Sekarang, mari lihat kepada 36 sukan, melibatkan 450 acara yang akan berlangsung di Sukan SEA Vietnam, Hanoi dari 21 Nov hingga 2 Dis tahun depan, dengan dua pertiga daripada acara yang dipertandingkan tersenarai di dalam acara rasmi Sukan Olimpik dan Sukan Asia.
Berdasarkan kepada senarai rasmi acara Sukan SEA Vietnam, acara Olimpik yang dipertandingkan ialah olahraga, akuatik (renang dan terjun), memanah, badminton, bola keranjang, tinju, kano, berbasikal (lebuh raya dan basikal bukit), "dancesport", lawan pedang, bola sepak, golf, gimnastik, bola baling, bola tampar, judo, karate, mendayung, menembak, ping pong, taekwondo, tenis, angkat berat dan gusti.
Sementara acara bukan Olimpik pula ialah billiard dan snooker, catur/xiangqi (catur Cina), futsal, Muay Thai, pencak silat, petanque, sepak takraw, renang sirip, bina badan, wushu, kurash, kickboxing, vovinam (seni mepertahankan diri Vietnam).
Tidak menghairankan banyak kritikan timbul memandangkan sandaran emas Malaysia adalah pada bola jaring, hoki dalam dewan, boling padang, pelayaran, ragbi tujuh sebelah, tenpin boling dan ski air -- semuanya tidak disenaraikan Vietnam.
Dalam Sukan SEA, adalah menjadi suatu kebiasaan kepada negara tuan rumah untuk memilih sukan yang mereka gemari, dan menambah beberapa sukan tradisional negara masing-masing. Tuan rumah terdahulu seperti Filipina, Malaysia dan Myanmar tidak terkecuali.
Maka, mengapa perlu kecoh apabila Vietnam menyenaraikan lebih banyak acara Sukan Olimpik? Kenapa utamakan pingat sedangkan prestasi dan kualiti yang sepatutnya kita tumpukan?
Adakah teruk sangat jika atlet negara menyertai lebih banyak acara Sukan Olimpik atau Sukan Asia pada edisi ke-31 sukan serantau itu?
Bukankah atlet negara sepatutnya bersedia untuk sasaran lebih tinggi, maknanya pingat Olimpik, Asia dan Komanwel? Bukankah itu matlamat mewujudkan Program Podium untuk sukan prestasi tinggi sejak 2016?
Masih ada masa setahun lebih untuk mempersiapkan atlet negara, terutamanya yang muda untuk Sukan SEA sementara pada masa yang sama melatih mereka untuk mendapatkan penyudah podium di peringkat lebih tinggi.
Belajar dari Vietnam yang menunjukkan peningkatan berterusan dalam beberapa edisi Sukan SEA sebelum ini terutamanya dalam acara Sukan Olimpik. Pada edisi 2019 di Manila, Vietnam berada di tangga kedua keseluruhan dengan kutipan 98 emas- 85 perak -105 gangsa.
Vietnam bukan sahaja mempamerkan peningkatan dalam Sukan SEA tetapi juga di Sukan Olimpik.
Sementara Malaysia menyertai Olimpik sejak 1956 di Melbourne dan memenangi pingat pertama, iaitu gangsa menerusi gandingan pasangan adik beradik, Datuk Razif dan Datuk Seri Jalani Sidek dalam acara beregu lelaki di Barcelona 1992, Vietnam sudahpun memenangi emas walaupun hanya mula menyertai Sukan Olimpik di Moscow pada 1980.
Negara yang dilanda perang itu memenangi pingat sulungnya, iaitu perak menerusi atlet taekwondo Tran Hieu Ngan dalam acara bawah 57kg wanita di Sukan Olimpik Sydney 2000 sebelum Hoang Xuan Vinh akhirnya membidik emas pertama pada Sukan Olimpik Rio dalam acara 10 meter pistol angin.
Sementara Malaysia masih menantikan kehadiran kilauan pingat emas pertamanya, negara jiran yang lain masing-masing telahpun mencapai kejayaan dan lagu kebangsaan mereka berkumandang di temasya sukan terbesar dunia itu, seperti Thailand dengan sembilan pingat emas, Indonesia (tujuh) dan Singapura (satu).
Sudah tiba masanya untuk pihak bertanggungjawab dan pentadbir sukan di negara ini untuk menetapkan keutamaan mereka bagi membolehkan lagu 'Negaraku' berkumandang di pentas Olimpik tidak lama lagi.
-- BERNAMA